Tegur bawa arak ke restoran, pemilik dibelasah pelanggan

HULU SELANGOR – Tindakan seorang pemilik restoran menegur sekumpulan lelaki yang membawa minuman keras ke dalam premisnya bertukar kecoh apabila pergaduhan berlaku di Hulu Bernam di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 5.22 pagi.
“Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku melibatkan empat lelaki warga tempatan dengan pemilik restoran.
“Kejadian berpunca apabila pemilik restoran menegur keempat-empat suspek kerana membawa minuman keras masuk ke dalam premis berkenaan sehingga berlaku pergaduhan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ibrahim berkata, polis berjaya menahan tiga individu berusia antara 23 hingga 36 tahun di hadapan sebuah restoran di kawasan Hulu Bernam.
“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan masih dikehendaki polis di daerah ini atas kesalahan pergaduhan.
“Kita masih mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai melarikan diri sebelum polis tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, ujian air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif, namun mereka berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
“Ketiga-tiga suspek telah direman selama empat hari bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323, 506, dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
