668 pelajar cemerlang Pahang terima insentif RM1,000 setiap seorang

Wan Rosdy (tiga dari kiri) menunjukkan cek cura peruntukan dalam Majlis Penyampaian Insentif SPM, STPM dan STAM 2024 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Rabu.
Wan Rosdy (tiga dari kiri) menunjukkan cek cura peruntukan dalam Majlis Penyampaian Insentif SPM, STPM dan STAM 2024 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN – Seramai 668 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerima insentif pendidikan atas kecemerlangan masing-masing.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian insentif itu membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap kesemua pelajar berkenaan. 

“Pelajar cemerlang yang diraikan pada hari ini melibatkan peruntukan RM668,000... maka ada baki lagi daripada jumlah RM1 juta itu.

"Jadi, saya minta Yang Berhormat (Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang), Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak gunakan sebaiknya baki berkenaan untuk menyelesaikan apa-apa keperluan lain yang berkaitan pendidikan,” katanya.

Wan Rosdy (kiri) menyampaikan insentif kepada salah seorang wakil pelajar cemerlang dalam Majlis Penyampaian Insentif SPM, STPM dan
STAM 2024 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Rabu.
Wan Rosdy (kiri) menyampaikan insentif kepada salah seorang wakil pelajar cemerlang dalam Majlis Penyampaian Insentif SPM, STPM dan STAM 2024 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif SPM, STPM dan STAM 2024 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Rabu.

Dalam majlis itu, seramai 591 pelajar SPM memperoleh semua A, 65 pelajar STPM meraih PNGK 4.0, manakala 12 pelajar STAM mencapai Mumtaz menerima insentif tunai RM1,000.

Selain itu, 71 buah sekolah turut menerima Anugerah Khas bernilai RM3,000 setiap satu sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy memberitahu, SPM, STPM dan STAM bukan sekadar peperiksaan, ia fasa penting menentukan hala tuju anak-anak kita untuk ke menara gading, memasuki alam pekerjaan dan seterusnya menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan.

Justeru, beliau percaya pendidikan berkualiti akan melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing.

"Inilah bekalan sebenar untuk menghadapi dunia yang penuh cabaran dan kita semua sedar bahawa perjalanan menuju kejayaan bukan mudah.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, sistem pendidikan negara terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menasihatkan pelajar supaya melihat kejayaan ini sebagai permulaan kepada perjalanan panjang mereka.

“Kejayaan hari ini adalah hasil doa, disiplin dan usaha yang tidak kenal penat.

"Teruskan mengejar cita-cita dan jangan sesekali berhenti berusaha kerana ilmu adalah pelita yang menerangi kehidupan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan, termasuk melalui Yayasan Pahang dan Inisiatif Makmur Pahang bagi memastikan setiap anak Pahang mendapat pendidikan sempurna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!