#KWSPAntiScam semarakkan jiwa merdeka

SHAH ALAM - Merdeka bukan sekadar membawa erti kebebasan semata-mata tetapi terlindung daripada sindiket penipuan kewangan yang boleh melenyapkan impian persaraan tanpa sedar.
Tidak mahu kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini disambut hanya dengan kibaran Jalur Gemilang penuh bangga, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tampil mengajak semua melaungkan slogan ‘Merdeka Daripada Scam”.
Kempen terbaharu sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 dengan tanda pagar rasmi #KWSPAntiScam itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap ancaman penipuan kewangan yang semakin berleluasa.
Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Koporat KWSP, Nursyahida Abdullah berkata, sempena sambutan kemerdekaan tahun ini, KWSP tampil dengan mesej antipenipuan yang tegas namun disampaikan melalui pendekatan mesra dan mudah difahami bagi meningkatkan kesedaran serta melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman penipuan kewangan.
“Scammer kini semakin licik dengan pelbagai taktik, termasuk menyasarkan simpanan persaraan yang merupakan aset penting untuk kesejahteraan masa hadapan.

“Melalui Kempen Merdeka Daripada Scam, KWSP memperkasakan rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada serta melindungi diri, keluarga dan rakan-rakan daripada penipuan kewangan.
“KWSP turun padang menyeru rakyat agar sentiasa menilai dengan bijak, menjaga simpanan mereka dan bebas daripada scam sebagaimana kita menghayati erti kemerdekaan yang sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan.
Bagi menyampaikan mesej dengan lebih berkesan, KWSP menganjurkan siri Jelajah KWSP Merdeka Daripada Scam bermula 31 Ogos lalu hingga 16 September di 13 lokasi sekitar Lembah Klang.
Antara lokasi penganjuran termasuk perarakan Hari Kebangsaan, Nu Sentral, Avenue K, Lotus Ampang, Mydin USJ, Pasar Seni, Program Perumahan Rakyat (PPR) Subang 2 dan Festival - Keretapi Sarong.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti trak khas Merdeka Daripada Scam dengan mesej antipenipuan.
Contohnya, pengunjung boleh menyertai cabaran ‘Flying Money Grab’ yang mana peserta perlu menangkap wang palsu selama 30 saat direka bagi menggambarkan bahawa scammer selalunya menjanjikan wang lumayan dengan cara mudah untuk memerangkap mangsa.
Bagi mengukuhkan kempen, KWSP turut berganding bahu dengan beberapa pempengaruh media sosial termasuk Rahmat Fitri Abdullah yang juga Duta Antiscam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mekyun, Reina Lum dan Zubir Khan yang menyertai Jelajah KWSP - 'Merdeka Daripada Scam'.
Berpaksikan mesej utama, ‘Bijak menilai, simpanan selamat, merdeka daripada scam itu matlamat!’, KWSP menekankan bahawa isu penipuan bukan sekadar masalah individu sebaliknya ia memberi kesan kepada seluruh masyarakat.
KWSP juga berharap inisiatif sedemikian dapat memberi inspirasi kepada rakyat untuk berwaspada terhadap taktik penipuan, melindungi wang simpanan, berdiri teguh dan bersama melaungkan dengan bangga ‘Merdeka Daripada Scam!’.
Sila ikuti laman sosial Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi mengetahui jadual jelajah terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

