Tiada rekod siasatan aktif terhadap Azhari Shaari - SPRM

Azhari Shaari
Azhari Shaari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail terbuka ke atas pemangku pengerusi Halal Corporation Development (HDC) Datuk Azhari Shaari yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM berkata, SPRM ingin memberikan penjelasan berhubung permohonan semakan tapisan keutuhan yang dikemukakan oleh HDC terhadap Azhari

"Berdasarkan semakan yang dijalankan oleh SPRM pada 30 Oktober tahun lalu, didapati bahawa pada tarikh permohonan terbabit, tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail terbuka ke atas penama.

“Maklum balas rasmi telah dikemukakan kepada pihak HDC pada 4 November 2024, memaklumkan secara faktanya bahawa tiada siasatan aktif sedang dijalankan oleh SPRM terhadap penama ketika itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, untuk rekod, penama pernah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2023.

"Rekod sabitan masih wujud dalam Portal Data Pengkalan Rasuah SPRM,” katanya.

BKS berkata, SPRM menegaskan bahawa setiap tapisan keutuhan yang dijalankan adalah bertujuan sebagai panduan kepada pihak pemohon dan tidak bersifat mengikat.

“Sehubungan itu, SPRM menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh mengelirukan serta menjejaskan proses semakan keutuhan yang dijalankan secara profesional dan berintegriti.

“SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan yang dijalankan, selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan itu dibuat selepas keberadaan Azhari dalam lembaga pengarah HDC dibangkitkan oleh ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung pengakuan bersalah Azhari dalam satu kes jenayah.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!