Kartel monopoli diesel: SPRM sahkan ada tangkapan - Azam

Laporan eksklusif Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Azam
Laporan eksklusif Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Azam
A
A
A

PETALING JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan terdapat penahanan individu melibatkan kartel tender serta membekal diesel dengan cara mencurigakan di Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, maklumat lanjut kes ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Terdapat satu kes penyeludupan diesel di Sibu.

"Ada tangkapan, tapi saya tidak boleh dedahkan jumlahnya. Saya embargo terlebih dulu sebab saya akan buat sidang akhbar dalam masa terdekat. Biar siasatan dan tindakan dijalankan oleh pegawai kami dulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SPRM dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini pada Rabu.

Beliau berkata, SPRM akan tunjuk apa yang diperoleh daripada tindakan berkenaan.

Laporan eksklusif Sinar Harian pada Selasa melaporkan kegiatan sebuah syarikat menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api tersebut ke seluruh negeri Sarawak dipercayai telah menyebabkan kerugian puluhan jutaan ringgit.

Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada 'orang dalam' sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di sekitar negeri terbabit.

Hasil daripada pemberian rasuah tersebut, sindiket ini berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Sindiket dipercayai telah memonopoli tender ini sejak 10 tahun lalu sehinggalah kini.

Artikel Berkaitan:

Mereka berjaya memenangi tender kerana menawarkan harga minyak diesel yang rendah berbanding petender-petender syarikat pengeluar minyak besar yang lain.

Selain itu, bekalan minyak diesel untuk dibekalkan kepada kerajaan negeri ini juga dipercayai akan diseludup serta diseleweng kepada kapal luar persisir (offshore).

 

Ringkasan AI

  • SPRM mengesahkan penahanan individu berkaitan kartel tender dan pembekalan diesel mencurigakan di Sarawak
  • Tan Sri Azam Baki, akan mengumumkan maklumat lanjut tentang kes ini dalam masa terdekat
  • Terdapat kes penyeludupan diesel di Sibu di mana beberapa tangkapan telah dibuat
  • Syarikat tertentu didapati menjadi kartel dalam pembekalan bahan api, menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada negeri Sarawak
  • Sindiket berjaya memperoleh tender dengan membayar rasuah dan menawarkan harga diesel yang lebih rendah, serta disyaki menyeludup diesel kepada kapal offshore

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!