Wajib audit semak tender kerajaan

Muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Kamal Affandi, Muhammad Faisal
Muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Kamal Affandi, Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan dicadangkan supaya mewajibkan penglibatan pegawai daripada Jabatan Audit Negara dalam proses kelulusan atau semakan akhir setiap tender kerajaan bagi menutup pintu manipulasi dan kerakusan kartel yang mendominasi sesuatu projek.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, langkah itu penting kerana audit menyeluruh boleh mengesan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), etika kerja dan perkara mencurigakan khususnya dalam perolehan tender kerajaan.

“Sebelum ini kita sentiasa berterima kasih kepada Ketua Audit Negara dan pasukannya kerana hasil audit atau semakan yang dibuat kadang-kadang didapati berlaku pelanggaran SOP dan etika kerja dalam perolehan tender, pembayaran ganti rugi dan sebagainya.

“Jadi yang paling mudah dibuat ialah secara naziran dari mata ke mata atau audit semasa terutama sewaktu membuat keputusan kelulusan tender atau jika kelulusan sudah dibuat, pihak Jabatan Audit Negara boleh buat semakan akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan eksklusif Sinar Harian pada Selasa mengenai sebuah syarikat yang didakwa bertindak sebagai kartel pembekalan diesel di Sarawak dengan memonopoli tender kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu melalui rasuah, penyeludupan dan penyelewengan.

Berikutan itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin menegaskan siasatan akan dijalankan bagi membongkar dalang di sebalik kartel terbabit kerana penyelewengan dan rasuah itu menyebabkan ketirisan dan kerugian besar hasil negara.

Kamal Affandi turut mengesyorkan supaya teknologi kecerdasan buatan (AI) digabungkan bersama tenaga manusia dalam proses kelulusan tender supaya lebih cekap dan efisien.

“Jika digabungkan bersama, ia memberi lebih banyak peluang kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam proses kelulusan tender untuk turun ke lapangan bagi memastikan maklumat dalam dokumen syarikat yang masuk tender sah ataupun tidak.

“Teknologi AI pula boleh melakukan perkara-perkara yang objektif seperti untuk memeriksa semua dokumen berkaitan seperti lesen mengendali jentera dan melakukan kerja-kerja perkeranian yang berkaitan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz mendesak kerajaan memperbaiki Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat bagi menangani kes kartel sebegitu.

Beliau menegaskan, perundangan lebih ketat dan menyeluruh diyakini dapat mencegah sebarang bentuk kartel atau kronisme dalam perolehan tender kerajaan.

“Dalam konteks undang-undang yang mengawal ini, kerajaan harus buka dulu ruang libat urus dengan semua pihak untuk memastikan kita ada undang-undang efektif,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!