'Tak ada modal, terpaksa guna tayar botak'

JPJ memandang serius perkara itu kerana tayar botak misalnya berpotensi menyebabkan kemalangan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.
JPJ memandang serius perkara itu kerana tayar botak misalnya berpotensi menyebabkan kemalangan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.
A
A
A

SEPANG – Tiada modal selain mendakwa terlepas pandang antara alasan diberikan pemandu lori yang didapati menggunakan tayar botak, rosak serta tidak selamat di jalan raya.

Helah itu diberikan demi meraih simpati pihak berkuasa untuk mengelak daripada dikenakan tindakan menerusi Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil pada Selasa.

Lebih mengejutkan, kenderaan perdagangan berkenaan bukan sahaja beroperasi dengan tayar berisiko pecah, malah sebahagiannya turut dikesan tiada cukai jalan sah serta insurans yang tidak diperbaharui.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sikap mengambil mudah aspek keselamatan ini bukan sahaja mendedahkan pemandu dan kelindan kepada bahaya malah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata, JPJ memandang serius perkara itu kerana tayar botak misalnya berpotensi menyebabkan kemalangan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

"Sepanjang Ops Gempur Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 September lalu, sebanyak 83 lori dan tujuh bas telah disita di seluruh negara kerana melakukan kesalahan serius.

"Antara kenderaan perdagangan yang ditahan turut didapati tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) lebih lima tahun tetapi masih digunakan di jalan raya selain keadaan tayar yang didapati tidak selamat digunakan," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di sini pada Selasa.

Katanya, selain itu terdapat juga kenderaan perdagangan yang ditahan dipandu oleh warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini JPJ fokuskan kepada semua dan terdapat pemandu warga asing dan tempatan ditahan, malah sebahagian daripadanya adalah pesalah berulang.

"Bagi kes berulang, tindakan tegas termasuk penyitaan kenderaan diambil bagi memastikan ia tidak lagi berada di jalan tanpa kawalan," katanya.

Muhammad Kifli turut menolak alasan pengusaha bahawa mereka tidak mampu menggantikan tayar baharu kerana kos tinggi.

"Alasan seperti tiada modal tidak boleh diterima, setiap pengusaha wajib memastikan kenderaan mereka benar-benar selamat sebelum beroperasi.

"Jika tayar didapati rosak teruk, notis akan dikeluarkan dan tayar mesti diganti sebelum kenderaan dibenarkan bergerak semula,” katanya.

Jelas beliau, bagi mendapatkan semula kenderaan yang disita, pengusaha perlu menyelesaikan semua tuntutan termasuk cukai jalan, insurans dan saman tertunggak.

"Operasi ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya melindungi nyawa pengguna jalan raya lain yang menjadi mangsa akibat sikap sambil lewa segelintir pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.

"Jalan raya adalah milik bersama, jadi setiap kenderaan yang berada di atasnya mestilah berada dalam keadaan selamat, keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan soal nyawa," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Pemandu lori menggunakan tayar botak dan rosak untuk mengelak tindakan pihak berkuasa
  • Kenderaan perdagangan ada yang tiada cukai jalan sah dan insurans yang tidak diperbaharui
  • JPJ memandang serius isu keselamatan dan berisiko tinggi kemalangan disebabkan oleh tayar botak
  • Sebanyak 83 lori dan tujuh bas telah disita kerana melakukan kesalahan serius termasuk tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor lebih lima tahun
  • Alasan tiada modal tidak boleh diterima sebagai justifikasi untuk tidak menggantikan tayar rosak, keselamatan tidak boleh dipandang ringan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!