[VIDEO] Lapan beradik terima sijil kelahiran, bapa sujud syukur
JOHOR BAHRU – Bapa kepada 10 beradik di Kampung Parit Lapis Hasan, Simpang Renggam melakukan sujud syukur di atas pentas selepas lapan anaknya menerima sijil kelahiran hasil bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Lapan beradik berusia antara 2 tahun hingga 14 tahun itu tidak pernah didaftarkan kelahiran sejak dilahirkan akibat pelbagai kekangan termasuk kerap berpindah.
Penyerahan sijil tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Raja Azlal Raja Azman kepada bapa mereka, Zainal Abidin Miskan, 51, dan isterinya, Jannatul Naimah Rohani, 36.
Zainal yang bekerja kampung berharap selepas semua anaknya memiliki sijil kelahiran, mereka dapat bersekolah dan membantu mengubah nasib keluarga.

“Hari ini, anak-anak dapat sijil kelahiran, saya amat bersyukur, hilang satu beban kami. Anak sulung berusia 17 dan 15 tahun sudah pun memiliki sijil kelahiran.
“Terima kasih banyak pihak yang bantu saya sekeluarga termasuk ketua kampung, pelbagai agensi kerajaan dan JPN.
“Kita ini sudahlah susah, biarlah anak-anak pergi sekolah, bantu ubah keluarga dengan ilmu,” katanya ketika ditemui selepas Program Menyemai Kasih Rakyat Mekar Madani, Rakyat Disantuni di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Johor Bahru, pada Selasa.
Sementara itu, Raja Azlal memberitahu, program Mekar itu telah dimulakan sejak 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Kita sedar masih ada rakyat yang belum memiliki dokumen pengenalan diri khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman, orang sakit, Orang Asli, OKU. Jadi JPN turun padang, masuk kampung, redah hutan belukar untuk pastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan.
“Sekiranya tiada kad pengenalan, sukar bagi mereka melakukan urusan harian selain mendapatkan manfaat sebagai warganegara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

