Kapal utama Sumud Flotilla diserang dron Israel, enam krew terselamat

Tangkap layar video ketika Family Boat terbakar selepas serangan dron yang dikongsikan GSF di Instagram rasmi mereka.
Tangkap layar video ketika Family Boat terbakar selepas serangan dron yang dikongsikan GSF di Instagram rasmi mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Global Sumud Flotilla (GSF) mengesahkan bahawa salah satu bot utama, Family Boat yang membawa ahli Jawatankuasa Pemandu GSF telah diserang dron milik Israel di perairan Tunisia.

Menurut kenyataan media GSF, bot tersebut berlayar di bawah bendera Portugal dan kesemua enam penumpang serta anak kapal berada dalam keadaan selamat.

GSF berkata, kebakaran telah menyebabkan kerosakan pada geladak utama kapal dan ruang simpanan di bawah geladak.

“Siasatan sedang dijalankan dan sebaik sahaja maklumat lanjut diperoleh, ia akan diumumkan dengan segera.

“Tindakan agresif yang bertujuan menakut-nakutkan serta menggagalkan misi kami tidak akan melemahkan semangat. Misi aman kami untuk memecahkan kepungan di Gaza dan berdiri teguh bersama rakyatnya akan diteruskan dengan penuh tekad dan iltizam,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, seorang anggota GSF yang tidak dinamakan, dalam satu video yang dimuat naik di laman Instagram kumpulan itu berkata, enam orang berada di atas kapal Family Boat ketika serangan dron berlaku dan dua daripada mereka sedang tidur berhampiran kawasan yang dibom.

“Berdasarkan bukti yang ada, setakat ini agak terhad, menunjukkan bahawa terdapat satu peranti pembakar, sejenis bahan pembakar yang digunakan pada kapal tersebut menyebabkan kebakaran kira-kira 2 meter dan berterusan selama lima hingga enam minit.

“Mujurlah, krew yang berada di atas kapal berjaya memadamkan kebakaran itu sendiri. Mujur juga tiada siapa yang cedera.

“Terdapat dua individu yang sedang tidur, agak hampir dengan lokasi kebakaran berlaku dan keseluruhannya enam orang berada di atas kapal tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Misi GSF adalah usaha kemanusiaan antarabangsa yang diusahakan secara kolektif untuk membuka laluan laut termasuk bantuan serta menyuarakan solidariti global dengan rakyat Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!