Tular ugutan bakar rumah PM, AMK sifatkan ancaman serius

SHAH ALAM - Satu komen berunsur ugutan mahu membakar rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan kejutan apabila ia tular di platform TikTok dan Facebook.
Komen berbunyi “rumah PMX ini pun tunggu masa je nak dibakar” itu ditulis oleh individu dikenali sebagai MD Johan Nadin yang disifatkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai ancaman serius terhadap keselamatan negara.
Ketua Biro Mobilisasi AMK, Bariqul Zaman Batharul Zaman berkata, kenyataan itu tidak boleh dianggap remeh kerana ia jelas jatuh di bawah kesalahan ugutan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda.
“Malah, jika ugutan itu membabitkan niat untuk memusnahkan harta, hukuman maksimum boleh mencecah tujuh tahun penjara,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam AMK Malaysia, Khairul Naim Rafidi.
Bariqul menegaskan ugutan berbaur jenayah di media sosial tidak boleh dipandang ringan kerana ia juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, laporan polis yang dibuat pada Isnin adalah mesej jelas mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.
“Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa memberi pandangan terhadap kerajaan boleh dilakukan dengan budi bicara dan adab.
“Media sosial tidak boleh dijadikan medan menabur ugutan atau ancaman yang boleh mengganggu keselamatan awam,” tegasnya.
Tambahnya, tindakan undang-undang keras amat penting untuk mendidik masyarakat agar lebih beradab dalam komunikasi, sama ada ketika berpolitik mahupun ketika berinteraksi di ruang maya.
Sementara itu, Khairul Naim menjelaskan, laporan polis itu dibuat walaupun selepas suspek sudah ditahan, sebagai tanda solidariti dan simbolik bahawa rakyat Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan.
“Ini bukan sekadar formaliti atau gimik, tetapi mesej jelas bahawa tindakan seperti ini tidak wajar dibiarkan,” ujarnya.
Pada Ahad, polis menahan dua lelaki berusia 44 dan 45 tahun kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur ugutan jenayah, hasutan serta dakwaan tidak benar terhadap kerajaan dan Perdana Menteri melalui media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai membuat hantaran di TikTok mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan.
Tambahnya, tangkapan kedua pula melibatkan lelaki berusia 44 tahun yang disyaki membuat komen berunsur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri menggunakan akaun Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

