Laporan PSSC Kesihatan didakwa berat sebelah, tidak libatkan semua pihak - MRECA

KUALA LUMPUR - Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA) mendakwa laporan terkini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Kesihatan mengenai penggunaan vape di Malaysia bersifat berat sebelah kerana prosesnya tidak melibatkan semua pihak berkepentingan.
Presidennya, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, laporan tersebut dibuat tanpa sebarang rundingan bersama pihak industri sama ada pengilang, pengimport, pengedar, pengguna mahupun pakar bebas.
Beliau berkata, PSSC Kesihatan sepatutnya mengambil kira suara pihak berkenaan bagi memastikan cadangan yang dibuat benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.
Lebih membimbangkan, katanya, pihak yang terlibat dengan industri vape langsung tidak diberi peluang untuk memberikan penjelasan atau hujah balas.
"Sepatutnya, pihak industri perlu dipanggil terlebih dahulu untuk memberi penjelasan sebelum sebarang dakwaan dibentangkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, setiap tuduhan yang dikemukakan juga perlu melalui proses semakan dan pengesahan yang teliti sebelum dibentangkan.
"Dakwaan yang diterima tanpa bukti kukuh boleh menimbulkan persepsi berat sebelah dan merosakkan kredibiliti laporan itu sendiri," katanya.
Beliau menegaskan, industri bukan menolak kawal selia malah menyokong peraturan yang jelas, tegas dan seimbang, termasuk kawalan umur, piawaian produk serta aspek keselamatan pengguna.
"Apa yang kami tekankan ialah keperluan kepada proses yang telus dan inklusif, di mana suara semua pihak diambil kira dan syor yang dikeluarkan benar-benar berasaskan fakta serta bukti saintifik," katanya.
Sehubungan itu, MRECA menggesa PSSC Kesihatan untuk mengadakan sesi pendengaran rasmi bagi memastikan semua pihak berkepentingan dapat memberikan penjelasan.
"Ini adalah langkah penting bagi memastikan cadangan yang dikeluarkan kelak tidak berat sebelah dan selari dengan objektif kesihatan awam," katanya.
Adzwan berkata, mereka juga menuntut agar setiap dakwaan yang dibuat terhadap industri disemak serta disahkan melalui data dan bukti saintifik yang bebas, bukan berdasarkan persepsi semata-mata.
"Hanya dengan cara ini, syor yang dikemukakan dapat dianggap sahih dan berkredibiliti," katanya.
Tambah beliau, tanpa proses yang adil dan menyeluruh, cadangan larangan menyeluruh akan dilihat seolah-olah menghukum industri vape secara keseluruhan.
"MRECA percaya bahawa keputusan yang rasional dan bertanggungjawab hanya dapat dicapai apabila semua pihak diberi ruang untuk bersuara, dan industri dilihat sebagai sebahagian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada masalah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
