Bangunkan segera sistem amaran awal gempa bumi - Lam Thye

Laporan Sinar Harian pada 30 Ogos lalu. Foto kecil: Lam Thye
Laporan Sinar Harian pada 30 Ogos lalu. Foto kecil: Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu membangunkan segera sistem amaran awal gempa bumi di seluruh negara melalui kaedah mudah alih dan siren agar rakyat mendapat maklumat tepat serta pada masanya untuk bertindak segera.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha itu antara langkah penting perlu diambil supaya tidak mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan berisiko.

“Malaysia mungkin tidak berada di Lingkaran Api Pasifik, namun gempa bumi kecil yang berlaku di Johor baru-baru ini serta gegaran yang dirasai di beberapa negeri menunjukkan bahawa negara kita tidak bebas sepenuhnya daripada risiko seismik.

“Walaupun kebiasaannya gegaran di Malaysia adalah kecil, ia tetap tidak dapat dijangka dan boleh mengakibatkan kerosakan serta menimbulkan panik sekiranya tidak bersedia,” katanya menerusi kenyataan kepada Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan, daerah Segamat di Johor merekodkan enam kejadian gempa bumi lemah masing-masing pada 24, 27, 29 dan 30 Ogos dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, antara langkah lain perlu diberi perhatian ialah garisan sesar di seluruh negara yang perlu dipetakan semula dan dipantau menggunakan teknologi seismik moden bagi mengesan risiko lebih awal.

Katanya, penguatkuasaan kod bangunan tahan gempa serta kerja-kerja pengukuhan pada sekolah, hospital dan infrastruktur awam juga perlu diberi keutamaan.

“Gempa bumi tidak dapat dielakkan, namun kita boleh mengurangkan risiko serta kesannya.

“Dengan kewaspadaan, sistem amaran awal, dan infrastruktur yang lebih kukuh, Malaysia dapat memastikan rakyat sentiasa dimaklumkan, selamat dan bersedia menghadapi sebarang bencana alam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!