Saya bukan pengkhianat, saya penyokong nombor satu presiden - Hamzah

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin sekali lagi menegaskan beliau tidak akan mengkhianati kepimpinan parti, sebaliknya kekal sebagai penyokong nombor satu kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, beliau menolak dakwaan segelintir pihak yang cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap kesetiaannya kepada kepimpinan tertinggi.
“Jangan dengar cucuk-mencucuk. Sudah-sudahlah, saya nak maklumkan hari ini saya penyokong nombor satu kepada presiden.
"Saya bukan pengkhianat tetapi saya mahu menjadi seorang sahabat, duduk di sebelah presiden (sebagai) adik kepada presiden, orang suruhan kepada presiden sebagai timbalan presiden.

"Kalau nak pecat, parti mana lagi saya nak pergi? Ini parti terakhir saya. Saya akan mati dalam parti yang saya sayangi ini,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.
Dalam pada itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan, budaya cucuk-mencucuk dalam parti harus dihentikan segera kerana ia hanya akan memecahbelahkan perpaduan dalaman.
Malah sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersatu, beliau mahu Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Saya akan pastikan kita menang di Sabah, insya-ALLAH. Saya sedang mencari strategi untuk menang, bukan ugut-mengugut.
"Ini bukan budaya kita, kita tiada cucuk-mencucuk. Budaya kita mengangkat martabat presiden," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

