PAT Bersatu: Muhyiddin akui kekecohan amat memalukan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kekecohan yang berlaku ketika beliau menyampaikan ucapan di atas pentas sebagai perkara memalukan.
Muhyiddin yang mesra disapa abah berkata, beliau meluahkan perkara tersebut menerusi WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum memanggil mesyuarat tergempar selepas itu.
“Walaupun saya agak kecewa dan teks kepada MPT. Saya sebutkan ringkas sahaja. Amat memalukan.
“Apa yang saya sebutkan itu bukan menyentuh kedudukan saya sebagai Presiden tapi lebih penting sebagai abah, saya tersentuh kerana saya adalah yang terlibat secara langsung dalam penubuhan parti sejak awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ketika ditemui pada sidang akhbar berkata, insiden berkenaan dianggap selesai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan parti.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, sebagai pemimpin nombor satu adalah biasa bagi beliau untuk bersedih dengan kekecohan yg berlaku, namun beliau bersyukur ia kembali stabil.
“Saya tanya dan minta jaminan (MPT) supaya perkara ini tidak berulang pada masa akan datang kerana ia melibatkan imej parti.
“Kita selesaikan masalah ini dengan baik dan apa yang berlaku biarlah berlalu. Kita harus melihat ke hadapan untuk mengukuhkan parti,” katanya.
Tambahnya, untuk menjadi kerajaan menunggu, PN khususnya Bersatu perlu memastikan parti utuh dan kekal bersatu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


