Pemimpin Bersatu dakwa insiden kecoh dirancang awal

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Foto kecil: Jasri
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Foto kecil: Jasri
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden kekecohan yang berlaku ketika Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan di atas pentas didakwa dirancang lebih awal.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, tindakan itu bertujuan untuk menimbulkan suasana tidak harmoni kepada parti.

“Bagi saya insiden yang berlaku itu memang memberi kesan kepada parti tetapi ia tidak merosakkan perjuangan Bersatu secara keseluruhan.

“Jadi, nasihat saya kepada mana-mana pihak yang ingin membangkitkan sebarang isu atau rasa tidak puas hati gunakan saluran yang betul disediakan parti,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, kekecohan dan pergelutan berlaku ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar presiden pada malam Sabtu.

Kekecohan itu berlaku di bahagian tengah dewan dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati apabila Ahli Parlimen Pagoh itu menyentuh mengenai wujud gerakan mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan beliau.

Mengulas lanjut, Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, beliau akan teguh berdiri di belakang Muhyiddin selaku presiden untuk memperkukuhkan lagi parti.

Katanya, pemimpin dan ahli parti seharusnya mengikut protokol yang betul untuk menyuarakan sebarang perkara sekiranya ada isu berbangkit agar ia dapat diselesaikan secara baik.

Menyentuh mengenai isu SD yang dibangkitkan Muhyiddin, beliau berkata, perkara yang dibangkitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bahawa tindakan tersebut tidak mengikut perlembagaan adalah tepat.

Artikel Berkaitan:

“Tan Sri (Muhyiddin) cuma bangkitkan yang SD ini tidak mengikut perlembagaan. Kalau hendak buat sesuatu seperti hendak menurunkan seseorang daripada jawatan ikutlah perlembagaan parti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!