Polis cekup lelaki pandu kereta secara berbahaya

KLUANG - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memandu kereta secara berbahaya sehingga terbabit dalam kemalangan di kilometer (km) 74, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam di sini pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.30 malam apabila kereta Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 21 tahun itu terbabas di lokasi.
Menurutnya, siasatan mendapati kereta tersebut dipandu dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam.
"Ketika sampai di lokasi, kereta terbabit telah terbabas dan melanggar pagar dan garaj kereta sebuah rumah di Jalan Bunga Raya, Kampung Melayu, Simpang Renggam.
"Bagaimanapun, pemandu kereta serta penghuni rumah terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, Pegawai Penyiasat Trafik yang tiba ke lokasi telah membuat tangkapan terhadap pemandu kereta tersebut untuk siasatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing pemandu kereta terbabit didapati negatif.
"Sampel darah pemandu kereta juga telah diambil untuk rujukan ke jabatan kimia bagi mengesan kandungan alkohol yang ada dalam badannya.
"Pemandu kereta juga telah ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut," katanya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memandu kenderaan di atas jalan raya secara melulu yang boleh membahayakan kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987 memandu dengan kandungan alkohol dalam badan melebihi had yang ditetapkan.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM10, 000,000 jika sabit kesalahan dan maksimum RM30,000, penjara hingga dua tahun dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama minimum dua tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
