Tiada unsur jenayah berkaitan kehilangan remaja Britain - Polis

SHAH ALAM - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau salah laku dikesan dalam kes kehilangan remaja Britain yang ditemukan di sebuah hotel di Jalan Pudu baru-baru ini selepas dilaporkan hilang sejak Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes berkenaan dianggap selesai selepas remaja terbabit diserahkan semula kepada ibunya semalam sebelum dilaporkan pulang ke negaranya hari ini.
"Remaja itu telah diserahkan kepada ibunya setelah pihak polis selesai menjalankan siasatan," katanya pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan David Balisong, 17, ditemukan kira-kira jam 7 malam sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur selepas menerima maklumat daripada aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.
Siasatan polis mendapati remaja berkenaan meninggalkan rumah sebelum datang ke Malaysia pada awal Jun lalu kerana berlaku perselisihan faham dengan keluarganya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, berdasarkan percakapan awal, remaja itu bertindak keluar rumah selepas tidak sefahaman dengan keluarga sebelum menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu.
Terdahulu, media melaporkan melaporkan pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester itu meninggalkan rumah pada 6 Jun lalu dengan alasan mempunyai urusan di sekolah.
Bagaimanapun remaja terbabit berlepas seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarga serta dilaporkan mematikan telefon bimbit dan tidak lagi membalas e-mel keluarganya.
Remaja itu kemudiannya berhubung dengan ibunya adalah pada 9 Julai lalu menerusi sepucuk e-mel dan meminta keluarga tidak bimbang selain berpesan agar mereka terus berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

