Selisih faham dengan keluarga punca remaja Britain tinggalkan rumah - Polis

David Renz Galletes Balisong
David Renz Galletes Balisong
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perselisihan faham dengan keluarga dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki warga Britain meninggalkan rumah sebelum datang ke Malaysia pada awal Jun lalu.

Remaja terbabit, David Renz Galletes Balisong, 17, dilaporkan hilang sejak 7 Jun sebelum ditemui selamat di sebuah hotel di Jalan Pudu, hasil maklumat orang awam pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penemuan remaja itu dilakukan selepas seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Uncle Kentang menyalurkan maklumat mengenai keberadaannya.

"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan dan menemui remaja terbabit dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.

"Hasil percakapan awal, dia mengakui meninggalkan rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan keluarga sebelum berangkat ke Malaysia pada 6 Jun 2025," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Fadil, pihaknya kini dalam proses mendapatkan keterangan lanjut daripada remaja berkenaan.

"Polis akan memaklumkan perkara ini kepada Kedutaan Britain di Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membantu polis mengesan remaja berkenaan.

Pada Rabu, media melaporkan Balisong dipercayai datang ke negara ini untuk bercuti.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata perkara itu diketahui susulan visa kemasukannya menunjukkan dokumen itu akan tamat tempoh pada Khamis selepas dia masuk ke negara ini pada 7 Jun lalu.

Shazeli berkata, polis berusaha mengesan keberadaan remaja terbabit, antara lain dibantu oleh maklumat yang diberikan ibu mangsa serta pelbagai pihak lain.

Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.

Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.

Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur,dan sejak itu mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.

Balisong bagaimanapun dilaporkan sempat menghantar e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lepas.

Antara kandungan e-mel itu ialah pesanan Balisong supaya tidak mencarinya dan bimbang akan dirinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!