Isteri jumpa rangka suami hilang dalam tangki septik selepas 3 tahun

NAKHON RATCHASIMA – Seorang wanita menemui rangka suaminya yang hilang selama lebih tiga tahun dalam tangki septik di belakang rumah mereka, pada Khamis.
Mangsa dikenal pasti sebagai Seung Paekratok, 66, manakala isterinya, Tawee Paekratok menemui rangka tersebut ketika membersihkan kawasan itu bagi membina bilik mandi baharu.
Tangki septik berukuran satu meter lebar dan 1.5 meter dalam itu telah lama 'tersembunyi 'di sebalik semak-samun.
Isteri mangsa percaya suaminya mungkin terjatuh secara tidak sengaja ketika mabuk. Baju kuning yang dijumpai bersama tulang itu meyakinkan Tawee bahawa rangka tersebut adalah suaminya.
Tawee menceritakan bahawa dia telah mencari suaminya tanpa henti, menjejaki setiap laporan penampakan dan membuat laporan polis. Pernah satu ketika, dia bermimpi melihat suaminya di luar rumah, yang dianggap jiran sebagai petanda dia sudah meninggal dunia.
Keadaan itu tidak disedari selama bertahun-tahun kerana kawasan sekitar ditumbuhi semak-samun, manakala bau yang timbul disangka berasal daripada kompos.
Pihak polis akan menjalankan ujian DNA bersama anak perempuan pasangan itu bagi mengesahkan identiti mayat.
Bagaimanapun, Tawee yakin bahawa tulang tersebut milik suaminya dan merancang untuk mengadakan upacara keagamaan setelah pengesahan dibuat.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

