'Keluarga dah 10 hari cari ayah, tak sangka jumpa rangka' - Anak

BALING - [DIKEMAS KINI] Pencarian keluarga selama 10 hari akhirnya terjawab apabila bapa mereka, Ramli Hashim berusia lingkungan 70-an, ditemukan meninggal dunia dalam kebun getah di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, di sini pada Selasa.
Anak tiri, Norhidayah Md Saad, 21, berkata, mereka sekeluarga sudah berusaha mencari di merata tempat, namun gagal menemui ayahnya sehingga laporan polis dibuat.
Menurutnya, ayah tinggal bersama ibunya, Fariza Murad, 64, dan disedari tidak pulang ke rumah sejak 23 Ogos lalu.
“Kami menyedari ayah hilang apabila dia tidak pulang ke rumah... ibu ingat ke kedai tetapi tunggu sampai petang masih tidak balik... mungkin pergi ke rumah anaknya di Sungai Petani tetapi selepas beberapa hari bertanyakan mereka, ayah tiada di sana.
“Puas kami mencari di merata tempat dan menghubungi sanak saudara, rupa-rupanya ayah meninggal dunia dalam kebun berhampiran perdu pokok pisang, tidak jauh dari rumah hanya kira-kira lima minit,” katanya.
Jelas Norhidayah, tidak terlintas di hati mereka bahawa ayah akan keluar mencari daun pisang kerana kebiasaannya dia akan pergi bersama ibu jika mencari ulam-ulaman untuk dijual.
"Pada hari kejadian, kami sekeluarga pergi ke kenduri tetapi ayah enggan ikut serta," jelasnya.
Mayat Ramli ditemui seorang penoreh getah dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian di kebun getah kampung berkenaan kira-kira jam 11 pagi, Selasa.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali mengesahkan penemuan mayat tersebut.
Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penemuan satu rangka manusia dalam sebuah kebun getah oleh penduduk yang juga penoreh sebelum melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

