Suami maut dalam perjalanan bertemu isteri

MELAKA – Hasrat seorang suami untuk pulang bertemu isterinya berakhir tragedi apabila dia maut digilis lori dalam kemalangan di Jalan Klebang Kecil di sini pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Hilman Zulkifli, 26, meninggal dunia di lokasi selepas motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh lalu digilis sebuah lori yang membawa muatan beras.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Sungai Udang menuju ke rumah isterinya di Serkam.
Menurutnya, namun sebaik tiba di tempat kejadian di simpang empat lampu isyarat berhampiran Bulatan Klebang, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh.

"Pada masa sama, sebuah lori dipandu lelaki berusia 33 tahun tidak sempat mengelak dan menggilis mangsa.
"Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini pada Rabu.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
"Manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

