Rangka manusia ditemui dalam kebun getah

Lokasi penoreh getah menemui rangka manusia lengkap berpakaian di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil.
Lokasi penoreh getah menemui rangka manusia lengkap berpakaian di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil.
A
A
A

BALING – Seorang penoreh getah menemukan satu rangka manusia dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, seorang lelaki berusia 43 tahun yang sedang menoreh ternampak objek menyerupai rangka manusia di sebelah pagar kebun.

Pada masa sama, pengadu turut menjumpai sebuah motosikal jenis SYM berwarna biru kira-kira 25 meter dari lokasi rangka tersebut ditemui.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati rangka itu dalam keadaan terlentang dengan kedua-dua kaki berada di atas tong plastik putih, selain terdapat sebilah pisau di sebelah kiri mayat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ahmad Salimi, siasatan lanjut membawa kepada semakan rekod orang hilang dan mendapati terdapat laporan dibuat oleh isteri mangsa pada 29 Ogos lalu selepas suaminya keluar rumah sejak 24 Ogos.

Katanya, pengecaman mayat kemudian dilakukan oleh isteri serta anak tiri berdasarkan pakaian dan motosikal milik mangsa.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!