‘Usah cepat kritik, inikan perlawanan persahabatan’

Stuart Wilkin (dua dari kanan) meraikan golnya ketika menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. Foto: Bernama
Stuart Wilkin (dua dari kanan) meraikan golnya ketika menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. Foto: Bernama
A
A
A

BIARPUN Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan 2-1 menewaskan Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun persembahan skuad negara tetap menjadi bahan kritikan segelintir peminat bola sepak tanah air.

Mereka menyifatkan corak permainan yang diperagakan pasukan kali ini agak hambar berbanding ketika menewaskan Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2026 pada Jun lalu.

Mengulas perkara itu, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir tampil menegaskan bahawa peminat tidak seharusnya terlalu cepat melontarkan kritikan kerana perlawanan persahabatan hakikatnya medan ujian buat pengendali, Peter Cklamovski.

“Perlawanan persahabatan inilah masa jurulatih untuk mencuba pelbagai kombinasi pemain dan menilai tahap permainan mereka. Ini bukan ukuran sebenar tetapi penilaian untuk menentukan siapa layak berada dalam kesebelasan utama nanti.

“Lagipun, kita berjaya meraih keputusan positif dan pasukan ini baru saja dikumpulkan kembali selepas kemenangan kita menentang Vietnam baru-baru ini. Sebab itu, mungkin ada yang kurang kemas di beberapa bahagian," katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut Jamal, kritikan melulu hanya akan menambah tekanan sedangkan matlamat utama aksi persahabatan adalah untuk memperkemaskan taktikal dan memberikan peluang kepada barisan pemain mencuri perhatian jurulatih.

“Kalau kita ingat balik sebelum bertemu Vietnam pun, prestasi skuad negara dalam aksi persahabatan tidak terlalu menonjol. Tapi bila sampai ‘game’ sebenar, lain hasilnya.

“Sebab itu kita jangan terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan perlawanan persahabatan. Apa yang penting, kita menilai skuad ini ketika beraksi di kelayakan atau kejohanan utama nanti," katanya.

Selepas ini, Harimau Malaya akan menentang pasukan di ranking ke-98 dunia, Palestin dalam satu lagi aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!