Palestin ramal tentangan sengit Harimau Malaya

PENGENDALI Palestin, Ehad Abu Jazar menyifatkan skuad kendaliannya bakal berdepan tentangan sengit daripada Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Isnin.
Katanya, skuad negara ketika ini dilihat banyak mengalami perubahan, terutamanya dengan kemasukan beberapa pemain baharu berstatus naturalisasi dan warisan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa semua pemain tersebut adalah rakyat Malaysia yang sah apabila mereka menyarung jersi kebangsaan.
“Pasukan Malaysia memang banyak mengalami perubahan sejak pertemuan sebelum ini, khususnya dengan kehadiran pemain asal dan luar negara.
“Apa pun, bagi saya, apabila seseorang pemain itu menyarung jersi Malaysia, bermain dan menyanyikan lagu Negaraku, dia tetap merupakan pemain Malaysia,” katanya pada sidang akhbar menjelang aksi persahabatan berkenaan.
Tambah Ehad, skuad Lions of Canaan itu bakal turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Mohammed Saleh, Musab Al Batato, Mohamad Hebous dan Assad Al Hamlawi yang mengalami kecederaan.
Katanya, tempoh persiapan yang singkat menjelang perlawanan ini juga menjadi cabaran besar buat pasukannya.
“Pasukan Malaysia sangat kuat dan kami tahu mereka bermain dengan baik. Mungkin mereka kehilangan dua atau tiga pemain esok, tetapi saya percaya mereka sudah bersedia.
“Selain itu, kami juga tahu penyokong Malaysia akan turut memberi sokongan kepada Palestin dan ia akan menjadikan suasana perlawanan lebih menarik,” ujarnya.
Sementara itu, pemain tengah Palestin, Oday Kharouf, percaya pasukannya perlu bekerja keras untuk menewaskan Harimau Malaya yang kini berada pada prestasi terbaik.
Kharouf, yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bersama Kelantan Darul Naim (KDN) FC musim lalu, berkata skuad kendalian Peter Cklamovski memiliki ramai pemain berbakat yang mampu memberi tentangan sengit.
“Pasukan ini semakin kuat dan bermain dengan pantas. Mereka juga sudah banyak menentang pasukan Arab dan Asia Timur, dan kami tahu mereka semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Apa pun, kami akan lakukan yang terbaik dan tidak akan berputus asa dalam perlawanan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
