Bukan benci tapi sayang

Pemandu ojol berarak membawa kain rentang bertulis mesej damai ketika himpunan bersama polis di Jakarta. - AFP
Pemandu ojol berarak membawa kain rentang bertulis mesej damai ketika himpunan bersama polis di Jakarta. - AFP
A
A
A

Demonstrasi berdarah telah menyebabkan 10 orang maut dalam tunjuk perasaan dan rusuhan yang berlarutan selama seminggu di seluruh Indonesia sejak 25 Ogos lalu.

Namun peristiwa paling tragis melibatkan seorang penunggang ojek dalam talian (ojol) Affan Kurniawan, 21, yang maut selepas dilanggar kenderaan perisai polis atau Brimob ketika sedang melintas jalan untuk menghantar makanan berhampiran bangunan Parlimen.

Affan bukan peserta demonstrasi berkenaan dan difahamkan dia merupakan seorang anak yang rajin dan menjadi tempat bergantung keluarganya, sekali gus menimbulkan rasa simpati masyarakat.

Rasa simpati itu turut dirasai oleh rakyat Malaysia dan sebagai tanda solidariti, ada yang membuat pesanan makanan bagi membantu ‘rider-rider’ di negara tersebut.

Usaha tersebut mendapat respons luar biasa dari rakyat Indonesia yang kagum dan memuji keprihatinan rakyat Malaysia.

Namun pernah terpahat dalam sejarah hitam Malaysia dan Indonesia menerusi konfrontasi yang berlaku pada tahun 1963-1966 berpunca daripada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Indonesia percaya bahawa penubuhan Malaysia adalah satu bentuk neo-imperialisme dan neo-kolonialisme serta melihatnya sebagai ancaman kepada integriti wilayahnya, dan aspirasi negara tersebut.

Malah, Tunku Abdul Rahman dituduh memijak bendera Indonesia, namun hal itu dinafikan oleh Tunku.

Susulan itu, pada 20 Januari 1963, pemerintah Indonesia mengeluarkan deklarasi konfrontasi dan Presiden Sukarno berikrar mahu menganyang Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang konfrontasi, seramai 114 askar pasukan komanwel, 36 orang awam Sarawak dan lebih daripada 590 orang askar Indonesia terbunuh.

Bagaimanapun, konfrontasi berakhir apabila Soeharto, yang menggantikan Sukarno pada 1967 tidak berminat untuk meneruskan polisi Sukarno, dan memulakan rundingan damai pada Mei 1966 yang berakhir dengan perjanjian pada 11 Ogos 1966.

Sejak daripada itu, hubungan antara kedua negara pulih dan terus kukuh melibatkan pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pendidikan.

Cuma yang sering jadi pertelagahan hanyalah di media sosial apabila berlaku pertembungan dalam sukan terutama bola sepak dan badminton.

Sering disebut oleh pengulas-pengulas sukan sebagai musuh tradisi sejak sekian lama dan pernah juga pertembungan antara penyokong bertukar jadi ganas.

Malah, perkara lain yang sering jadi perdebatan ialah tentang makanan dan budaya antara dua negara.

Ramai yang berebut dan berdebat mengatakan rendang dan nasi lemak adalah milik negara masing-masing, termasuklah wayang kulit serta tarian kuda kepang.

Perkataan 'Malingsial' yang ditujukan kepada Malaysia juga menghiris hati dan perasaan.

Tetapi dalam era globalisasi sekarang, jurang antara negara semakin kecil. Lihat sahaja begitu banyak kedai-kedai nasi ayam gepuk yang merupakan makanan khas dari Indonesia kini tumbuh bagai cendawan di Malaysia sehingga digemari ramai orang.

Begitu juga dengan ramainya pekerja-pekerja dari Indonesia yang mencari rezeki di negara ini sehingga mereka berjaya membahagiakan keluarga di kampung halaman.

Majikan Malaysia lebih suka ambil pekerja Indonesia kerana faktor bahasa dan agama.

Jadi kita harap biarlah hal-hal kecil seperti ini tidak diperbesarkan dan sekadar ribut dalam cawan sahaja.

Lagipun kedua-dua negara bukan sahaja mempunyai bilangan umat Islam paling ramai malah sejak sekian lama dianggap berada dalam satu rumpun yang sama.

Sebagaimana rakyat Malaysia gemar menyanyikan lagi dari Afgan, Judika atau Nike Ardila, begitu juga dengan rakyat Indonesia yang gemarkan Siti Nurhaliza, Exist dan Slam.

Adalah lebih baik, kelebihan yang dimiliki bersama itu digunakan untuk cipta lebih banyak kejayaan demi kepentingan rakyat kedua negara.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!