Lelaki ditemukan maut dalam kereta sudah seminggu hilang

SUNGAI PETANI - Kehilangan seorang lelaki sejak seminggu lalu terjawab apabila mangsa ditemui meninggal dunia dalam kereta di sebuah stesen minyak di Bandar Perdana, di sini, pada Jumaat.
Sepupu mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian disedari kira-kira jam 5 petang sebelum beliau bergegas ke lokasi untuk mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa, Amear Mat Isa, 51, dari Kampung Bukit Choras, Pendang, didapati tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di stesen minyak berkenaan.
“Kami hanya dapat tahu apabila orang di sini terhidu bau busuk sebelum menemui mangsa dalam kereta.
“Kenderaan miliknya dikatakan berada di tempat letak kereta ini sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Jelasnya lagi, mangsa kelihatan tersandar kaku di kerusi pemandu.
Beliau menambah, mangsa difahamkan baru sahaja keluar dari wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas mendapatkan rawatan penyakit jantung dan diabetes.
“Arwah seorang duda dan bekerja sebagai penjual tiket bas ekspres di bangunan Pusat Transformasi Bandar. Dia tinggal bersama ibunya dan tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu.
“Seluruh ahli keluarga mencarinya di merata tempat. Tak sangka dia akhirnya ditemui meninggal dunia dalam kereta yang baru dibelinya seminggu lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, mengesahkan penemuan mayat lelaki tersebut.
“Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya mangsa telah meninggal dunia lebih daripada dua hari.
“Mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat di HSAH,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan misteri bau busuk dari sebuah kereta di stesen minyak di Bandar Perdana terbongkar apabila seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam kenderaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

