Tiada pesakit Covid-19 lari dari HRPZII

Polis menafikan dakwaan seorang lelaki positif Covid-19 melarikan diri dari Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Polis menafikan dakwaan seorang lelaki positif Covid-19 melarikan diri dari Hospital Raja Perempuan Zainab II.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menjelaskan isu yang tular mengenai seorang lelaki positif Covid-19 dikatakan melarikan diri dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini adalah tidak benar.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, mengikut maklumat yang diterima, lelaki berasal dari Jerteh, Besut, Terengganu itu sebenarnya belum menjalani pemeriksaan dan tidak diketahui sama ada positif Covid-19 ataupun tidak.

Beliau berkata, lelaki itu sebenarnya mengadu mengalami demam, namun tidak menjalani pemeriksaan dan meninggalkan hospital kerana ada urusan lain.

“Kami tidak menerima apa-apa laporan berkaitan kes itu dan polis berharap perkara ini tidak diviralkan kerana boleh mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, berdasarkan apa yang ditularkan lelaki berusia 41 tahun itu melarikan diri daripada pemeriksaan darah di HRPZII kira-kira 4.50 petang semalam dan dikatakan sudah disahkan positif Covid-19.

Selain itu, lelaki berkenaan juga dikatakan pulang ke Jerteh dengan menaiki bas dan dibimbangi akan menjangkiti orang lain.

Sementara itu, lelaki yang ditularkan itu ketika dihubungi Bernama berkata, beliau telah ke hospital berkenaan bagi membuat pemeriksaan berikutan mempunyai kontak rapat dengan seorang yang positif Covid-19.

"Namun apabila doktor mendapati saya sihat, saya telah diminta pulang. Saya pun terus pulang ke Besut dengan menaiki bas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau kini berada di Hospital Jerteh untuk membuat rawatan pemeriksaan kerana tidak berpuas hati disebabkan tidak berbuat demikian di HRPZII sebelum ini.

Lelaki tersebut berharap isu yang ditularkan mengenai dirinya itu dihentikan supaya tidak menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menerima ugutan dan kejian melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS).- Bernama