Lelaki ditahan edar jus minuman disyaki mengandungi dadah

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan bersama beberapa botol jus minuman berperisa yang disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi di hadapan sebuah premis di Seri Dagangan Centre, di sini pada Rabu lalu.
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui satu kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa suspek berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.20 petang oleh anggota Batalion 7 PGA yang sedang menjalankan pemeriksaan dalam Op Taring Sky di lokasi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, susulan penahanan suspek, anggota Batalion 7 PGA turut merampas wang tunai berjumlah RM179,400 yang ditemukan di dalam kenderaan suspek.
“Turut dirampas empat loket emas dan sebuah kenderaan yang digunakan suspek, yang didapati menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain.
“Anggaran nilai rampasan termasuk kenderaan mencecah RM232,000,” ujar kenyataan itu.
Tambahnya, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan kepada golongan penagih di sekitar daerah ini.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

