RUU Kredit Pengguna diwartakan akhir tahun ini - MoF

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) yang memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika dijangka diwartakan pada akhir tahun ini.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, dalam masa sama ia mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.
“RUU ini juga membuka laluan kepada penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), sebuah badan bebas yang akan mengawasi dan mengawal selia penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal.
“SKP mempunyai empat fungsi utama iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna, menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan berkaitan kredit pengguna.

“Selain itu, ia turut menggalakkan perlakuan yang adil, profesional dan bertanggungjawab oleh semua pemberi kredit serta pemberi perkhidmatan kredit dan menggalakkan perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut kenyataan tersebut, Dewan Negara telah meluluskan RUUKP pada 4 September 2025, yang akan memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna dan melindungi rakyat daripada amalan kredit yang tidak adil serta tidak telus.
Ujarnya, RUU berkenaan yang diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying akan menjadi sebuah akta induk yang diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan (RSA) dalam pemantauan aktiviti kredit pengguna.
“RUU Kredit Pengguna merupakan manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.
“Kerajaan Madani tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tatakelola demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin.
“Keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan seperti digagaskan dalam kerangka Ekonomi Madani,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

