Pegawai JPJ Wilayah Persekutuan lawat kilang motosikal EV GGR Motor

KUALA LUMPUR – Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang mengadakan lawatan kerja ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala pada Khamis.
Lawatan berkenaan memberi ruang kepada pihak berkuasa melihat lebih dekat operasi kilang GGR Motor yang kini muncul sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama di Malaysia.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah itu menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV di negara ini berjalan mengikut piawaian ditetapkan.
“Ini merupakan lawatan pertama pihak berkuasa ke kilang kami dan diharap kerjasama ini dapat melancarkan urusan prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran motosikal EV mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Dalam sesi itu, pegawai dan anggota JPJ diberi taklimat operasi selain meninjau secara langsung proses pemasangan serta pengeluaran motosikal EV.
Rombongan turut dibawa melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi syarikat yang dibangunkan bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik.
Menurut Mussaddiq, geran serta nombor pendaftaran motosikal EV jenama Lion G1 keluaran GGR Motor boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.
“Kita jangkakan dalam tempoh terdekat, motosikal EV yang ditempah sudah boleh didaftarkan. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat,” ujarnya.
Lion G1 menjadi model sulung GGR Motor yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan dan direka khusus bagi pasaran Malaysia dengan penekanan terhadap kos mampu milik serta mesra alam.
Kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Sungai Penchala sebelum ini dilancarkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.
Industri EV negara turut menerima sokongan kerajaan melalui pelbagai insentif dan dasar, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pengeluar tempatan seperti GGR Motor untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

