Bekas PA Mizz Nina terima pampasan RM55,000, selesai kes penamatan kerja tidak adil - Peguam

Penyanyi dan aktivis Mizz Nina.
Penyanyi dan aktivis Mizz Nina.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu peribadi penyanyi dan aktivis Mizz Nina, Nur Haniza Mohd Azhar menerima pampasan sebanyak RM55,000 bagi kes penamatan kerja tidak adil yang difailkan di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur.

Peguam Haniza, Mohamad Nasruddin Ab Rahman daripada firma guaman Tetuan Nas Rahman & Azri Abdullah berkata, persetujuan itu dicapai hasil rundingan di luar mahkamah selepas anak guamnya diberhentikan kerja secara tidak adil pada 30 April 2024.

Menurut beliau, berdasarkan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Haniza berhak menuntut pampasan maksimum 24 bulan gaji dan pampasan sebagai ganti pemulihan kerja.

“Oleh itu, kami telah memfailkan aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan kes kemudiannya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Haniza meluahkan rasa syukur atas keputusan tersebut dan menyeru para pekerja agar tidak gentar mempertahankan hak mereka.

“Tidak kira setinggi mana darjat majikan tersebut, jika kita berada di pihak yang benar, teruskan perjuangan. Simpan segala dokumen sebagai bukti untuk memudahkan urusan di mahkamah,” katanya.

Pada 18 Mei tahun lalu, Nur Haniza dilaporkan berkata, bakal mengambil tindakan undang-undang selepas diberhentikan kerja secara tidak adil tanpa alasan kukuh.

Memetik laporan media, Haniza diberhentikan sebagai pembantu peribadi selepas 11 tahun berkhidmat untuk penyanyi itu. - Awani 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!