Bubar Parlimen Thai ditolak

Anutin (tengah) menghadiri sidang media selepas meraih sokongan Parti Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara itu. - Foto AFP
Anutin (tengah) menghadiri sidang media selepas meraih sokongan Parti Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara itu. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Pegawai diraja Thailand menolak permintaan parti pemerintah untuk membubarkan Parlimen, sekali gus menyaksikan negara itu berdepan ketidaktentuan politik.

Pengumuman itu dibuat pemangku Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai pada Khamis yang bakal membuka jalan lebih mudah kepada proses pemilihan penggantinya.

Menurutnya, Pejabat Majlis Penasihat Diraja berpendapat adalah tidak wajar untuk mengemukakan draf dekri diraja kepada Raja Maha Vajiralongkorn pada masa ini.

"Wujud pertikaian undang-undang terhadap kuasa saya untuk membubarkan Parlimen dalam kapasiti sementara," ujarnya lagi menerusi catatan di Facebook.

Kekosongan kuasa telah melanda pejabat tertinggi di Bangkok sejak Jumaat lalu apabila Mahkamah Perlembagaan memecat bekas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra kerana didakwa melanggar etika berhubung kebocoran rakaman audio beliau bersama pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen.

Ketika ini, gabungan pembangkang telah menzahirkan sokongan terhadap Anutin Charnvirakul untuk mengambil alih jawatan tersebut dengan undian dijadualkan kira-kira jam 10 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat.

Parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn yang masih mentadbir dalam kapasiti sementara cuba untuk membubarkan Parlimen dan menghalang proses undian tersebut dengan mengemukakan permohonan mereka kepada istana.

Anutin, 58, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Kesihatan pernah menyokong pakatan Paetongtarn sehingga berlaku perselisihan sempadan bersama Kemboja.

Beliau dikatakan berjaya meraih sokongan 143 kerusi Parti Rakyat dan dijangka memperoleh majoriti selesa memandangkan Parti Bhumjaithai adalah ketiga terbesar di Parlimen. - AFP

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!