Suami didakwa pukul isteri guna batang paip

Tertuduh, Mustaffa Ali, 37, mengaku tidak bersalah memukul isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, Mustaffa Ali, 37, mengaku tidak bersalah memukul isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada lima anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memukul isterinya dengan batang paip PVC, pada 6 Januari lalu.

Tertuduh, Mustaffa Ali, 37, dari Kampung Belukar Sukai, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebatang paip PVC terhadap isterinya, Wan Hamidah Wan Ahmad, 31.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Belukar Sukai, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, pada 6 Januari lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan berpunca perselisihan faham kecil, ibu kepada lima anak cedera dipukul dengan batang paip PVC oleh suaminya.

Mangsa turut disepak dan ditendang sehingga mendatangkan kecederaan di anggota tubuh badan.