'Hanya boleh guna telefon bimbit 2 jam sehari di bandar ini'

TOKYO - Sebuah bandar di Jepun mempertimbangkan untuk mengenakan peraturan yang mengehadkan penggunaan telefon bimbit selama dua jam sehari.
Garis panduan dicadangkan bandar Toyoake di wilayah Aichi untuk menetapkan kanak-kanak berusia antara enam dan 12 tahun perlu mengelakkan skrin selepas jam 9 malam.
Sementara itu, remaja dan orang dewasa perlu mematikan peranti tersebut bermula jam 10 malam.
Datuk Bandar Toyoake, Masafumi Koki berkata, ia bertujuan untuk mengurangkan ketagihan masa skrin dan impak negatif kepada fizikal serta kesihatan mental.
"Ia juga dapat meningkatkan kualiti tidur individu. Selain itu, ia boleh mengurangkan masalah ponteng dan masalah berkaitan tingkah laku," jelasnya.
Cadangan itu bagaimanapun dikritik komuniti setempat kerana ramai berpendapat had selama dua jam sehari agak tidak praktikal.
"Adakah bandar ini berhak sekat kebebasan penduduk? ujar seorang pengguna di media sosial.
Menurut laporan media tempatan, rang undang-undang (RUU) tersebut akan menjalani semakan jawatankuasa sebelum melalui proses undian pada 22 September ini.
Koki menjelaskan beliau mahu memberi penjelasan lebih terperinci tentang ordinan tersebut dan mungkin mempertimbangkan pindaan berdasarkan perbincangan dalam sesi dewan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

