Bolehkah cas telefon bimbit di dalam masjid?

KETAHUI hukum mengecas telefon bimbit demi keperluan peribadi. -Foto: CANVA
KETAHUI hukum mengecas telefon bimbit demi keperluan peribadi. -Foto: CANVA
A
A
A

KADANGKALA terlihat orang menggunakan suis untuk mengecas telefon bimbitnya di dalam masjid.

Sedangkan penggunaan elektrik dan segala kemudahan di dalam rumah ALLAH itu lazimnya dibiayai dan dibayar dengan menggunakan harta wakaf atau derma orang ramai.

Dari satu sudut, masjid itu juga bukan kepunyaan kita atau milik individu yang boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Andai kita menggunakan kemudahan di dalamnya untuk tujuan peribadi seperti itu, adakah ia dibenarkan?

Menjawab persoalan itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamad menjelaskan, penggunaan kemudahan masjid termasuk bekalan elektrik, terikat dengan batasan hukum syarak dan adab penggunaan harta wakaf.

Ini kerana masjid dibina melalui harta wakaf yang disalurkan oleh sebahagian pihak atau individu untuk manfaat ibadah umat Islam.

DR SYED SHAHRIDZAN
DR SYED SHAHRIDZAN

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan barang keperluan, perkakas dan kemudahan di dalamnya yang wujud atas hasil wakaf serta derma orang ramai tidak kiralah sama ada dalam bentuk barangan atau wang.

“Kemudahan masjid yang wujud melalui derma orang ramai antaranya ialah elektrik dan air. Kedua-duanya boleh dimanfaatkan pada perkara yang bersesuaian dengan fungsi masjid.

“Sebagai contoh, air diwakafkan untuk berwuduk dan keperluan di dalam tandas, manakala elektrik untuk pencahayaan masjid dan kepentingannya yang lain.

“Kemudahan masjid itu hanya dibenarkan pada urusan yang berkaitan dengan urusan ibadah, kepentingan masjid dan maslahatnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Berdasarkan hujah itu, jelas Dr Syed Shahridzan, kemudahan tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi melainkan diterima oleh uruf (kebiasaan masyarakat setempat) seperti urusan ‘hajat’ di dalam tandas dan minum.

Berbalik kepada persoalan tentang penggunaan elektrik untuk mengecas telefon bimbit peribadi di dalam masjid, jelas pendakwah itu, hukumnya adalah haram kerana ia tidak dikategorikan sebagai keperluan dalam maslahat masjid, sebaliknya hanya keperluan peribadi semata-mata.

Pendakwah itu menjelaskan, hukum tersebut diqiaskan dengan larangan mengambil air wakaf dari masjid untuk dibawa pulang dan diminum di rumah berdasarkan perbahasan dalam kitab Nihayat az-Zain.

“Kitab itu menyebut; ‘Tidak harus (haram) memindahkan air yang diwakafkan untuk minuman dari tempat asalnya ke tempat lain, seperti mengambilnya untuk diminum di rumah sebagai contoh’, terangnya.

Tambah beliau, perkara itu turut ditegaskan oleh para ulama dalam kitab Hasyiat asy-Syubramallisi ala an-Nihayat yang menyatakan bahawa:

“Sesuatu yang diwakafkan untuk kegunaan umum umat Islam, maka tidak halal bagi seseorang mengambil apa-apa daripadanya walaupun sudah menjadi adat dengan kelonggaran daripadanya seperti minum dari tempat air atau berwuduk dengan air yang diwakafkan.”

SEKIRANYA seseorang tetap menggunakan kemudahan masjid untuk keperluan peribadi seperti mengecas telefon bimbit, individu tersebut wajib membayar sewa atau bayaran sebagai balasan atas manfaat yang diambil dan tidak boleh digunakan secara percuma. -Foto: CANVA
SEKIRANYA seseorang tetap menggunakan kemudahan masjid untuk keperluan peribadi seperti mengecas telefon bimbit, individu tersebut wajib membayar sewa atau bayaran sebagai balasan atas manfaat yang diambil dan tidak boleh digunakan secara percuma. -Foto: CANVA

Sekiranya seseorang tetap menggunakan kemudahan masjid untuk keperluan peribadi seperti mengecas telefon bimbit, maka Dr Syed Shahridzan menjelaskan bahawa individu tersebut wajib membayar sewa atau bayaran sebagai balasan atas manfaat yang diambil dan tidak boleh digunakan secara percuma.

Perkara itu turut ditegaskan oleh Imam al-Syirbini dalam kitab Mughni al-Muḥtaj.

“Jadi, bayaran itu wajib disalurkan untuk manfaat masjid iaitu dalam konteks sekarang, wang bayaran tersebut diserahkan kepada ahli jawatankuasa masjid atau tabung masjid,” katanya.

Bagaimana pula jika seseorang sudah mendapatkan keizinan daripada pihak pentadbir masjid untuk mengecas gajet peribadinya di dalam rumah ALLAH itu tanpa perlu bayaran?

Dalam hal itu, Dr Syed Shahridzan mengingatkan, masjid dan kemudahannya bukanlah milik pentadbir masjid.

“Ingatlah, pihak pentadbir hanya menjaga amanah para penderma dan pewakaf sahaja. Jadi mereka tiada hak untuk memberi keizinan bagi tujuan peribadi individu.

“Hakikatnya, tanggungjawab pentadbir hanya memastikan kemudahan-kemudahan di dalam masjid disalurkan berdasarkan niat pewakaf dan penderma iaitu untuk kepentingan dan maslahat masjid,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!