SARA: Sistem diperkuat, B40 diberi keutamaan

Bantuan RM100 melalui MyKasih bukan sahaja membolehkan rakyat membeli barangan keperluan dengan lebih banyak, malah memberi peluang menjimatkan kos. Foto Bernama
Bantuan RM100 melalui MyKasih bukan sahaja membolehkan rakyat membeli barangan keperluan dengan lebih banyak, malah memberi peluang menjimatkan kos. Foto Bernama
A
A
A

MULAI 31 Ogos hingga 31 Disember 2025, semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerima bantuan RM100 secara one-off menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Inisiatif itu jelas menunjukkan langkah proaktif kerajaan membantu rakyat, khususnya golongan B40 untuk membeli barangan keperluan asas tanpa menanggung tekanan kewangan tambahan.

Bagaimanapun, pelaksanaan pada hari pertama dan kedua menyaksikan lonjakan transaksi luar jangka, menyebabkan sistem terminal MyKasih mengalami gangguan sementara dan kelewatan pemprosesan di beberapa premis runcit.

Situasi itu bagaimanapun tidak menjejaskan keseluruhan fungsi sistem kerana pembelian masih boleh diteruskan walaupun sebahagian lokasi menghadapi kesesakan.

Bagi mengatasi masalah berulang, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican tampil memberi jaminan bahawa kapasiti pelayan sistem telah ditingkatkan empat kali ganda daripada 5,000 kepada 15,000 transaksi seminit.

Ia bagi memastikan pengalaman menebus lebih lancar, lebih-lebih lagi menjelang cuti panjang termasuk Hari Malaysia.

Lonjakan hampir dua juta transaksi bernilai lebih RM110 juta dalam tempoh dua hari pertama membuktikan sambutan rakyat begitu tinggi, menandakan program tersebut benar-benar dinanti dan digunakan oleh rakyat jelata.

Bantuan RM100 melalui MyKasih bukan sahaja membolehkan rakyat membeli barangan keperluan dengan lebih banyak, malah memberi peluang menjimatkan kos, sekali gus membuktikan bantuan kecil pun boleh membawa impak besar apabila digabungkan dengan inisiatif kerajaan yang terancang.

Selain manfaat kepada penerima, program itu turut merangsang ekonomi tempatan, menyumbang kepada kitaran ekonomi negara dan memberi ruang kepada peruncit tempatan untuk berkembang.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks ini, tindakan meningkatkan kapasiti sistem dan memberi tempoh panjang menebus bantuan dilihat sebagai sokongan nyata kerajaan kepada rakyat, khususnya golongan B40 agar mereka dapat membeli keperluan asas tanpa tekanan.

Bagi golongan berkemampuan dan berasakan tidak memerlukan bantuan, RM100 itu boleh dijadikan peluang untuk berbuat kebaikan. Ia boleh dibelanjakan bagi membeli barangan asas dan disumbangkan kepada rumah anak yatim.

Apa pun yang penting bersabarlah. Tidak perlu terburu-buru kerana tempoh penebusan masih panjang sehingga penghujung tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!