'Saya masih hidup' - Trump

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa menepis khabar angin yang tersebar di media sosial tentang keadaan kesihatannya termasuk 'berita kematiannya'.
Menerusi sidang media di Rumah Putih, Trump mendakwa segala maklumat tidak sahih yang dikongsi pihak tidak bertanggungjawab sebagai berita palsu.
Pelbagai spekulasi mula timbul setelah pemimpin berusia 79 tahun tersebut tidak membuat kemunculan di khalayak umum atau bertemu dengan petugas media selama beberapa hari pada minggu lalu.
Warganet kemudiannya mendakwa Presiden ke-47 AS itu mungkin sudah meninggal dunia dan Rumah Putih cuba menyembunyikan berita kematiannya.
Trump bagaimanapun cuba merungkai persoalan orang ramai apabila menjelaskan dia hanya 'bercuti' selama dua hari.
Topik #trumpdead terus menjadi trending di platform X pada Selasa.
Pada Julai lalu, Trump didiagnos menghidap penyakit urat yang tidak berbahaya setelah timbul spekulasi mengenai tangannya yang lebam teruk dan kaki membengkak.
Doktor Presiden, Sean Barbabella kemudiannya mengesahkan tahap kesihatan Presiden AS paling tua itu masih baik selepas menjalani pemeriksaan rutin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

