Dua stesen seismik dibina pantau gegaran Segamat

SEGAMAT - Dua stesen seismik akan dibina di daerah ini bagi menempatkan alat seismometer untuk mengesan serta mengukur kekuatan gelombang susulan enam gegaran lemah yang berlaku minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“JPBD Segamat sudah membuat permohonan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. Setakat ini permohonan sedang diteliti dan lokasi sesuai sedang dinilai.
“Difahamkan lokasi pembinaan stesen tersebut tidak boleh berhampiran dengan jalan raya dan penempatan penduduk serta jauh daripada habitat liar kerana alat seismometer sensitif kepada bunyi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Segamat di Dewan Serbaguna Jalan Genuang.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah; serta Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Marqun Fadzli Mohd Fahmi.
Untuk rekod, MetMalaysia kini mengoperasikan 80 sensor seismik di seluruh negara termasuk enam di Johor, masing-masing di Gelang Patah, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing.
Dalam pada itu, Mohd Ezzuddin yang juga Pegawai Daerah Segamat berkata, sebanyak 64 laporan kerosakan kecil melibatkan rumah penduduk dan sebuah surau telah diterima, kebanyakannya membabitkan retakan pada dinding dan siling.
“Bermula 24 hingga 30 Ogos lalu, enam gegaran direkodkan dengan magnitud antara 2.7 hingga 4.1 skala Richter.
“Sepanjang tempoh itu, JPBD telah diaktifkan bagi memantau sebarang perkembangan termasuk bilik gerakan, selain rondaan lebih kerap oleh agensi penyelamat, polis dan bomba,” katanya.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lalu dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi, Jumaat (3.4); dan 7.29 pagi, Sabtu (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Sementara itu, gegaran terbaharu bermagnitud 3.0 dikatakan berlaku di Semerah, Batu Pahat pada 1.57 petang Ahad lalu, menurut mesej pemberitahuan dalam Google.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

