Gempa bumi: Penyelidik lakukan siasatan awal rekahan tanah di Segamat

SEGAMAT - Sekumpulan penyelidik menjalankan siasatan awal pada Ahad susulan kemunculan rekahan tanah di kebun milik seorang penduduk di Jalan Buloh Kasap, Batu 2 di sini.
Kumpulan penyelidik termasuk daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilihat berada di lokasi selama lebih sejam.
Tinjauan Bernama mendapati kumpulan penyelidik juga menggunakan peralatan teknologi ABEM Terrameter LS 2, iaitu sistem rintangan untuk memetakan keadaan struktur bawah tanah.
Turut berada di lapangan ialah Pengarah JMG Johor, Noorazhar Ngatimin, Pengarah MetMalaysia negeri, Nor Adawiah Abdullah dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, iaitu Dr Mohd Nur Asmawisham Alel, Prof Madya Dr Mariyana Aida Ab Kadir dan Dr Mohd Zamri Ramli.
Difahamkan, dapatan awal itu akan dianalisis terlebih dahulu oleh pihak berkaitan sebelum kesimpulan dibuat.

Sementara itu, Ramlah Ishak, 56, yang menetap di situ lega kerana kebimbangannya selepas menemukan rekahan itu mendapat perhatian kerajaan negeri dan kumpulan penyelidik berkenaan.
Ramlah yang mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai pelukis pelan percaya pihak terlibat memiliki kepakaran untuk mengenal pasti punca sebenar rekahan berlaku.
"Saya mengalu-alukan kedatangan penyelidik kerana penting untuk tujuan keselamatan,” katanya.
Pada Sabtu, Bernama melaporkan kemunculan rekahan tanah di kawasan kebun di belakang rumah wanita itu, dipercayai kesan sampingan gegaran gempa bumi.
Ramlah yang bimbang dengan rekahan yang semakin membesar sekiranya gegaran berlaku lagi, memohon agensi berkaitan mengambil tindakan lanjut untuk membuat penilaian.

Lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi, Jumaat (3.4) dan 7.29 pagi semalam (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8. - Bernama
JMG laksana analisis terperinci kenal pasti punca rekahan tanah
SEGAMAT - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor tidak menafikan gegaran yang berlaku di Segamat baru-baru ini berkemungkinan menjadi antara faktor kemunculan rekahan tanah di beberapa lokasi di daerah ini.
Bagaimanapun, Pengarah JMG Johor, Noorazhar Ngatimin berkata, analisis lebih terperinci perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Beliau berkata, pemeriksaan awal menggunakan peralatan geofizik jenis resistiviti setakat ini hanya mampu memberikan gambaran asas mengenai keadaan bawah permukaan tanah, khususnya dalam menentukan ketebalan dan jenis tanah serta mengesan struktur retakan atau rekahan, namun tidak dapat menentukan masa pembentukannya.

"Data awal yang diperoleh daripada kajian resistiviti yang dilakukan masih terlalu asas. Kita perlu lakukan analisis lanjut dengan cerapan data yang lebih banyak, kawasan diliputi lebih luas dan dalam jurus berbeza.
"Kajian lain seperti penentuan kekuatan gegaran akan membantu menentukan punca gegaran yang berlaku,” katanya ketika ditemui Bernama selepas melakukan lawatan ke rumah seorang penduduk, Ramlah Ishak, 56, di Jalan Buloh Kasap, Batu 2, di sini.
Ramlah sebelum ini melaporkan kebimbangan terhadap kemunculan rekahan tanah di kawasan kebun di belakang rumahnya selepas gegaran pada 7.29 pagi Sabtu.
Dia turut mendakwa kawasan rumahnya terkesan setiap kali gegaran berlaku di daerah ini sejak insiden gempa bumi pertama direkodkan pada 24 Ogos lepas.
Menurut Noorazhar, keadaan cuaca yang kering sekarang turut menyumbang kepada kejadian rekahan tanah termasuk geologi yang mendasari kawasan juga perlu diambil perhatian dalam menentukan punca kesan rekahan yang berlaku.
"Rekahan boleh berlaku akibat perubahan cuaca, akibat pengecutan tanah ketika musim kering. Jadi, kita tidak boleh hanya kaitkan dengan gegaran semata-mata. Semua faktor ini perlu diselidik bersama,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bercadang membawa pasukan teknikal bagi menjalankan kajian lebih mendalam, termasuk menggunakan peralatan tambahan daripada universiti tempatan bagi melengkapkan data sedia ada.
Noorazhar berkata, hasil kajian itu kelak akan menjadi asas untuk menilai sama ada peta geologi sedia ada, khususnya peta seismik perlu dikemas kini, memandangkan kawasan Segamat kini menunjukkan telah berlaku pengaktifan semula sesar kuno yang berada di sekitarnya.
"Bagaimanapun, kawasan ini masih selamat untuk didiami. Magnitud yang dicerap oleh MetMalaysia menunjukkan Segamat masih berada di zon magnitud lemah yang tidak membahayakan kehidupan,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan penyelidik termasuk daripada JMG Johor, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilihat berada di lokasi selama lebih sejam bagi menjalankan siasatan awal berhubung aduan penduduk berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
