[VIDEO] 30.7 kg sampah dasar laut di kutip di Pulau Perhentian

A
A
A

BESUT – Sebanyak 30.7 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip di dasar laut di sini menerusi Program Dive Against Debris (DAD): Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian sekali gus membantu memulihara ekosistem marin di kawasan berkenaan.

Program selama tiga hari bermula pada Isnin itu turut mengumpulkan 290 kg sampah yang dikutip di sekitar Kampung Nelayan berhampiran pulau pelancongan tersohor negara itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, program CSR itu melibatkan seramai 384 peserta termasuk 80 penyelam dari seluruh negara.

Program DAD: CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian, Besut berjaya mengumpul 320.7 kg sampah dasar laut dan daratan sekitar Kampung Nelayan.
Program DAD: CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian, Besut berjaya mengumpul 320.7 kg sampah dasar laut dan daratan sekitar Kampung Nelayan.

“Alhamdulillah, kita berjaya menggabungkan sukarelawan daripada pelbagai pihak dalam usaha memupuk kesedaran terhadap kebersihan dan pemuliharaan alam sekitar, terutama dengan memberi fokus kepada kesan pencemaran laut.

“Program ini bertujuan memelihara serta memulihara ekosistem marin, termasuk terumbu karang dan hidupan laut, selain meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya pencemaran plastik dan sisa buangan terhadap alam sekitar,” katanya pada sidang akhbar.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Dive Against Debris (DAD): CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.

Hadir sama ialah Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh; ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin; Pengarah Pelancongan, Hilman Hajijan; dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor.

Artikel Berkaitan:

Program selama tiga hari bermula pada Isnin itu turut mengumpulkan
290 kg sampah yang dikutip di sekitar Kampung Nelayan, Pulau Perhentian di Besut.
Program selama tiga hari bermula pada Isnin itu turut mengumpulkan 290 kg sampah yang dikutip di sekitar Kampung Nelayan, Pulau Perhentian di Besut.

Menurut ADUN Kijal itu, program berkenaan turut mengambil peluang mengimarahkan sambutan bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera Terengganu pada kedalaman 10 meter di dasar laut.

Ujarnya, ia sebagai simbol semangat prihatin kerajaan terhadap negara melalui usaha kebersihan dan pemuliharaan alam sekitar.

Razali berkata, program itu bukan sahaja melibatkan pembersihan pantai dan dasar laut, malah turut diserikan dengan pendidikan alam sekitar, baik pulih masjid, pembersihan tanah perkuburan serta kenduri kesyukuran bersama komuniti setempat.

“Kami tegaskan di sini, Pulau Perhentian bukan sahaja tarikan pelancongan, malah khazanah semula jadi negara yang mesti dipelihara agar kekal berdaya saing sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!