Sumbang ekonomi negara

McDonald’s memberikan peluang kepada pekerjanya untuk melanjutkan pelajaran.
McDonald’s memberikan peluang kepada pekerjanya untuk melanjutkan pelajaran.
A
A
A

Perkembangan perniagaan di Malaysia menyaksikan satu lonjakan yang hebat dari tahun ke tahun hasil kejayaan pengurusan dipacu oleh kepimpinan cemerlang, pengembangan bakat berterusan dan pendidikan sepanjang hayat yang diterapkan dalam budaya tempat kerja.

McDonald’s Malaysia ialah syarikat yang banyak memberikan nilai tambah kepada perkembangan bakat tempatan, pendidikan anak bangsa dan kemajuan kerjaya bermakna dalam usahanya memastikan layanan gold standard kepada pelanggan.

Diterajui oleh Datuk Azmir Jaafar yang menjadi pemilik McDonald’s Malaysia sejak tahun 2017 menjadikan restoran ini kekal utuh selama 43 tahun di negara ini.

Restoran McDonald’s mula bertapak di Malaysia di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 1982.

Setelah 43 tahun, restoran ini telah meluaskan perniagaan mereka di lebih 370 lokasi di seluruh negara.

Menariknya, walaupun perniagaan ini merupakan jenama antarabangsa, namun pelbagai unsur tempatan ditonjolkan oleh mereka sama ada dari segi reka bentuk restoran, menu hidangan, budaya kerja, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain.

Antaranya terdapat restoran yang dibina dengan seni bina Minangkabau untuk mengangkat adat Negeri Sembilan, selain daripada menu hidangan yang hanya tersedia di Malaysia seperti Nasi Lemak McD, Ayam Goreng McD, Bubur Ayam McD dan Burger Prosperity.

Perkembangan McDonald’s Malaysia meluaskan rangkaian operasi di Malaysia ini adalah hasil kemajuan negara yang membolehkan perniagaan berdaya saing.

Sebagai syarikat milik tempatan, McDonald’s Malaysia komited untuk memastikan perniagaan mereka juga boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Komitmen kami untuk memastikan restoran McDonald’s menjadi penyumbang kepada ekonomi negara tidak pernah berbelah bahagi. Setiap tahun McDonald’s Malaysia menjana pendapatan dan sebilangan besar disumbangkan kepada pelbagai hasil negara, zakat korporat dan pekerja kami.

McDonald’s kini mempunyai lebih 370 cawangan di seluruh negara.
McDonald’s kini mempunyai lebih 370 cawangan di seluruh negara.

“Pada masa akan datang, kami menyasarkan untuk membuka lebih banyak restoran di seluruh negara, di mana ini akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan menyumbang lebih banyak hasil untuk ekonomi negara,” kata Azmir.

Dasar TVET

Menurut Azmir, selain daripada sokongan rakyat Malaysia, tulang belakang kepada operasi restoran ini turut diperkasa oleh orang tempatan.

“Sebanyak 100 peratus pekerja McDonald’s Malaysia adalah rakyat tempatan, 90 peratus adalah orang Islam, termasuklah kategori orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan perkhidmatan cemerlang dan konsisten kepada pelanggan, McDonald’s Malaysia menyedari bahawa belia yang berkemahiran dan berkebolehan amat penting kepada operasi restoran.

Justeru itu, mereka telah mengangkat Dasar Pendidikan dan Latihan dan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara menerusi penubuhan Akademi Vokasional McDonald’s dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk menawarkan kursus TVET dalam bahagian perkhidmatan makanan.

“Program ini memberi peluang kepada para belia untuk menyertai McDonald’s Malaysia sebagai perantis dan menjalani latihan praktikal serta teori dalam industri perkhidmatan makanan. Segala pembiayaan dan perbelanjaan perantis ditaja oleh McDonald’s Malaysia sebagai usaha untuk memberi peluang kepada belia B40 mendapatkan pendidikan dan pekerjaan,” ujar Azmir.

Selain itu, pekerja mereka yang ingin melanjutkan pelajaran turut disokong melalui pelbagai program kemahiran dan latihan yang ditawarkan di institusi kemahiran McDonald’s Malaysia, Hamburger U dan universiti yang mempunyai rangkaian kerjasama dengan syarikat itu.

“Di McDonald’s Malaysia, kami bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, tetapi kami juga komited dalam menyokong belia Malaysia untuk memenuhi potensi diri.

“Sebagai majikan yang mementingkan pembangunan golongan belia Malaysia, kami ingin memastikan McDonald’s Malaysia terus menjadi syarikat pilihan mereka, khususnya belia yang ingin membina kerjaya yang bermakna dan berkekalan dalam industri perkhidmatan makanan, sama ada di Malaysia atau ke luar negara.

“Ini menzahirkan McDonald’s Malaysia tidak terhad kepada keuntungan semata-mata, tetapi juga memberdayakan ekonomi negara dan memperkasakan masyarakat tempatan dengan memberikan pekerjaan yang bermakna,” kata Azmir.

Beliau berkata, produk-produk McDonald’s Malaysia seperti bahan mentah dan bungkusan juga diambil daripada pembekal tempatan.

“Segala yang pelanggan lihat dan rasa di restoran makanan segera itu adalah dihasilkan oleh pembekal tempatan, diproses dan dihantar oleh syarikat tempatan, serta dimasak oleh pekerja tempatan,” katanya.

“Secara kasarnya, McDonald’s Malaysia mempunyai lebih 15,000 warga kerja tempatan. Lebih 5,000 belia yang telah menjalani latihan di bawah program Akademi Vokasional McDonald’s dan ratusan rangkaian ekosistem yang terdiri daripada pekerja-pekerja warganegara Malaysia,” kata Azmir.

Kesejahteraan insan Kewujudan restoran McDonald’s di lokasi-lokasi berhampiran dengan kediaman masyarakat menjadikan mereka sebuah restoran yang turut komited untuk menjadi jiran yang prihatin.

Setiap tahun, McDonald’s Malaysia akan melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara, merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa ada yang terpinggir.

Antaranya adalah menceriakan warga emas semasa sambutan Tahun Baharu Cina di rumah rumah jagaan, mencipta detik detik indah bersama anak yatim dengan meraikan hari jadi pada setiap tahun.

McDonald’s Malaysia juga turut menyumbang makanan kepada petugas barisan hadapan, memberi juadah moreh pada bulan Ramadan ke masjid dan surau, sedekah air minuman ke masjid selepas solat Jumaat dan pelbagai lagi yang bermakna.

Bersama persatuan kebajikan pilihan mereka, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), syarikat itu melakukan sedaya upaya bagi memberi sokongan kepada kanak-kanak dalam aspek pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan.

Majukan komuniti

Sempena bulan kebangsaan ini, kita sewajarnya berasa megah dengan kejayaan syarikat tempatan seperti McDonald’s Malaysia ini sebagai salah satu cara menzahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Menurut Azmir, dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan, McDonald’s Malaysia telah membuktikan bahawa usaha untuk memajukan komuniti tempatan adalah sebuah iltizam yang perlu ada pada setiap syarikat.

“Melakar ke langit, jangan sampai lupa yang berakar di bumi. Apabila kami senang, rezeki ini akan dikongsikan dengan semua masyarakat kerana anda adalah penyokong kami sejak hari pertama kami berdiri disini.

“Kami sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam dan restoran tempatan akan terus melakukan yang terbaik untuk memastikan McDonald’s Malaysia terus memberi impak positif kepada komuniti di sekeliling lokasi restoran kami beroperasi,” kata Azmir.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!