Dewan Negara lulus usul Rancangan Malaysia ke-13

KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Rabu meluluskan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang merupakan rancangan serta hala tuju pembangunan negara untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, usul itu diluluskan selepas lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.
Terdahulu, usul RMK13 itu dibahaskan selama empat hari bermula 25 hingga 28 Ogos, disusuli dengan penggulungan setiap kementerian selama dua hari bermula semalam.
Persidangan pada Rabu menyaksikan 15 lagi kementerian meneruskan penggulungan perbahasan RMK13 termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Ekonomi sebagai kementerian terakhir.
Pada 31 Julai lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan RMK13 yang menetapkan hala tuju peralihan strategik Malaysia ke arah sistem ekonomi, sosial dan tadbir urus negara secara menyeluruh berpaksikan falsafah dasar keterangkuman, kemampanan dan daya tahan dalam kerangka Ekonomi Madani
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
