Grab dan Gojek beri respons segera, lancar inisiatif kecemasan

JAKARTA - Grab dan Gojek telah memberi respons segera terhadap kematian beberapa rakan pemandu mereka ketika siri demonstrasi yang melanda Indonesia.
Insiden tunjuk perasaan itu yang bertukar ganas setelah kematian penghantar Gojek, Affan Kurniawan telah menyebabkan kedua-dua perkhidmatan e-hailing tersebut menukar logo berwarna hijau kepada hitam sebagai simbol berkabung.
Grab dan Gojek turut mengesahkan Affan berdaftar sebagai penghantar di platform mereka.
Selain itu, Grab juga memberikan sokongan kepada keluarga mangsa lain yang terlibat termasuk Rusdamdiansyah atau Dandi yang maut ketika insiden pertempuran di Makassar.
Grab yang berkongsi gambar mangsa dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan takziah atas tragedi menimpa Affan pada 28 Ogos lalu dan mendoakan kesembuhan buat Moh Umar Amarudin dari Sukabumi, Jawa Barat yang merupakan salah seorang daripada lebih 700 yang cedera dalam demonstrasi di Jakarta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grab, Anthony Tan dilaporkan terbang dari Singapura ke Makassar untuk menziarahi keluarga Dandi.
"Kami akan sentiasa bersama rakan kongsi kami di seluruh Indonesia untuk menghadapi waktu sukar ini.
"Pada akhirnya, ia adalah tentang kemanusiaan dengan menjaga antara satu sama lain dan memastikan tiada siapa menempuh kesulitan sendirian," ujarnya.
Sebagai tindak balas terhadap kebimbangan keselamatan disebabkan gelombang demonstrasi, Grab Indonesia melancarkan GERCEP atau Grab Respons Cepat iaitu satu inisiatif kecemasan bertujuan melindungi pemandu mereka ketika berlaku situasi berisiko tinggi termasuk tunjuk perasaan.
Program itu menawarkan talian hotline khusus, HelpCenter dan perkhidmatan sembang langsung bersama ejen terlatih.
Grab memaklumkan sebelum ini ia mengekalkan Pasukan Petugas dan Tindak Balas Insiden untuk menguruskan keselamatan pemandu mereka, namun GERCEP diperkenalkan sebagai saluran tambahan bagi memastikan respons lebih pantas serta dikendalikan secara berasingan daripada operasi rutin.
Selain sokongan kecemasan, Grab turut menyediakan perlindungan perubatan, bantuan kewangan dan modal perniagaan melalui bimbingan GrabKios kepada rakan kongsi yang terjejas dan keluarga mereka.
Program 'Pemandu Traktir' juga membolehkan pengguna membeli makanan untuk pemandu, sekali gus memupuk semangat perpaduan masyarakat.
"Kami komited untuk terus bersama mereka dengan menyediakan sokongan nyata termasuk pemberian pampasan dan program bantuan jangka panjang supaya rakan kongsi pemandu berasa selamat serta sentiasa dilindungi," jelas Tan lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

