Treler terbabas langgar tiang lampu, dua beranak nyaris maut

GEORGE TOWN - Dua beranak nyaris maut selepas treler dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Jalan Perindustrian Bukit Minyak 8, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Simpang Ampat pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.57 tengah hari itu, pemandu treler berusia 59 tahun dan kelindannya yang juga anak lelaki berusia 23 tahun hanya mengalami kejutan dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kemalangan itu turut menyebabkan kebocoran pada tangki simpanan minyak diesel berkapasiti 800 liter yang dibawa oleh treler terbabit.
“Bomba menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Seorang pegawai bersama tujuh anggota tiba di lokasi pada jam 1.24 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, kerja-kerja pembersihan dilakukan menggunakan medium tanah dan semburan air bagi mengawal tumpahan minyak.
“Operasi ditamatkan pada jam 2.37 petang selepas lokasi disahkan selamat.
"Kerja penyelamatan turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

