Polis pengiring maut elak pokok tumbang

HULU SELANGOR - Seorang anggota polis pengiring cawangan Istana Negara maut selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika cuba mengelak pokok tumbang di Jalan Sungai Tua Ulu Yam di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa, Koperal Muhammad Faizal Abd Razak, 32, dalam perjalanan ke tempat kerja dari Batang Kali menuju ke Kuala Lumpur.
"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan ketika cuba mengelak pokok tumbang sebelum terbabas ke lorong bertentangan.

“Pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
