Akhmad Munir dilantik Ketua Umum PWI Pusat 2025–2030

SHAH ALAM - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Direktor Utama Lembaga Kantor Berita Nasional (LKBN), Akhmad Munir yang terpilih sebagai Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pusat bagi 2025–2030.
Pemangku Presiden Iswami Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, pihaknya yakin kepimpinan Akhmad mampu mengukuhkan lagi perpaduan dan kesatuan PWI.
Kata beliau, Iswami Malaysia juga berharap agar hubungan media dengan Indonesia terus diperkukuh dalam usaha meningkatkan kefahaman bersama selain membentuk naratif yang lebih baik bagi menangani isu semasa dan berkepentingan buat kedua-dua negara.
“Tahniah juga Atal S Depari yang dipilih sebagai Ketua Dewan Kehormatan PWI. Kami percaya dengan kepimpinan Akhmad dan Atal, PWI terus melangkah maju dalam memperkukuh peranan wartawan serta mempertingkatkan sumbangan terhadap dunia kewartawanan, bukan sahaja di Indonesia tetapi juga serantau dan antarabangsa.
“Iswami Malaysia akan terus komited menjalin kerjasama erat dengan PWI. Hubungan ini amat penting kerana wartawan kedua-dua negara memainkan peranan besar dalam menyebarkan berita dan maklumat tepat serta membina kefahaman rakyat.
“Semoga PWI terus berjaya dan diberkati dalam memimpin dunia kewartawanan ke arah masa depan lebih gemilang. Iswami Malaysia juga mendoakan Indonesia dan Malaysia sentiasa sejahtera, aman dan makmur,“ katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Berdasarkan laporan portal DetikNews, Kongres PWI 2025 berlangsung di Balai Pelatihan dan Pengembangan Teknologi Informasi dan Komunikasi (BPPTIK) Komdigi, Bekasi, Indonesia pada Sabtu lalu di mana Akhmad yang merupakan ketua editor media negara berkenaan meraih 52 undi.
Sementara itu, calon ketua umum lainnya, Hendry Ch Bangun hanya memperoleh 35 undian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

