Ibu dan bayi lapan bulan maut, lima lagi cedera kemalangan di Jeli

JELI - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu dan bayi yang berusia lapan bulan maut sementara lima sekeluarga cedera dalam kemalangan melibatkan kereta dan sebuah lori di Batu 15, Jalan Raya Timur-Barat di sini pada Sabtu.
Mangsa, Sabariah Mohamad Bedi, 26, dan anaknya, Nur Sabrina Zulyadin meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, lima lagi mangsa yang mengalami kecederaan merupakan suami isteri serta tiga anak mereka berusia setahun hingga 10 tahun.
Menurut beliau, wanita yang mengalami kecederaan dikenali sebagai Akmaliza, 34, merupakan kakak kepada mangsa.
"Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke Wakaf Tapai, Marang di Terengganu.
"Siasatan awal mendapati lori dari arah Jeli ke Grik manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV terbabit yang dipandu oleh suami Akmaliza sedang melalui selekoh ke kanan dan telah terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Ujarnya, MPV berkenaan dikatakan bertembung dengan lori tersebut dan akibat pelanggaran itu dua mangsa yang merupakan penumpang kenderaan terbabit meninggal dunia.
Menurut Kamarulzaman bedah siasat akan dijalankan di bahagian Forensik Hospital Jeli bagi mengenal pasti punca kematian.
Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital yang sama.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit boleh menghubungi talian
09-9440222 atau 014-8021928," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

