Penunggang maut selepas motosikal terbabit kemalangan terbakar

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbakar dalam nahas melibatkan treler dan dua motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Perai. - Foto: JBPM Pulau Pinang
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbakar dalam nahas melibatkan treler dan dua motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Perai. - Foto: JBPM Pulau Pinang
A
A
A

PERAI – Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggangnya terbakar dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah treler di Kilometer 140.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), di sini pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.43 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Syahim Rusman, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal jenis Honda Dash berusia 37 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

Anggota bomba dan polis mengawal lalu lintas susulan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 140.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) pada Jumaat.
Anggota bomba dan polis mengawal lalu lintas susulan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 140.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) pada Jumaat.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Sementara itu, pemandu treler yang terbabit dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, motosikal mangsa yang terbakar hampir 95 peratus itu berjaya dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Juru dan PBS Bagan Ajam sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO).

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.43 tengah hari dan jentera tiba di lokasi 33 minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

“PKO kemudian membantu pihak KKM serta polis di lokasi, selain menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada elemen bahaya yang lain.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, operasi membabitkan 11 anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dan Bandar Perda dengan kerjasama pihak Lebuhraya Utara-Selatan, KKM, polis dan PBS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!