Misi tiga mata pertama TRW saingan Liga Super

Elavarasan
Elavarasan
A
A
A

PENGENDALI Kelantan The Red Warriors (TRW), E Elavarasan mahu anak buahnya meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Super apabila menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada Sabtu.

Menurutnya, tiga mata amat penting bagi memperbaiki kedudukan kelab pantai timur itu serta merapatkan jurang kutipan mata dengan pasukan teratas dalam saingan musim ini.

“Kami hanya mencatat dua keputusan seri dan satu kekalahan selepas tiga perlawanan. Jadi, perlawanan ini sangat penting untuk mendapatkan kemenangan pertama sekali gus memberikan keyakinan kepada penyokong untuk hadir ke stadium pada aksi seterusnya.

“Sudah tentu ia bukan perlawanan yang mudah, lebih-lebih lagi di tempat lawan kerana kedua-dua pasukan masih belum meraih kemenangan pertama musim ini,” katanya.

Selepas tiga perlawanan, TRW berada di tangga ke-10 liga dengan dua mata, manakala Penang FC di kedudukan ke-11 dengan satu mata.

Sementara itu, pengendali berusia 63 tahun berkenaan mahu pemainnya turun dengan motivasi tinggi bagi memastikan kemenangan dan membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.

“Pemain perlu beraksi dengan penuh semangat juang walaupun bermain di tempat lawan, selain mengelakkan kesilapan yang boleh memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol.

“Kita tahu Penang FC mempunyai kualiti untuk menguasai permainan jika pemain kami melakukan kesilapan,” katanya.

Beliau turut mengakui Penang sebagai sebuah pasukan berpotensi terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Tumpuan utama adalah kepada corak permainan dan taktikal pasukan. Kami sudah meneliti kelemahan sebelum ini dan berusaha membaikinya,” katanya. – Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!