'Dia hanya mahu ambil telefonnya' - Punca Affan maut didedahkan

JAKARTA - Penunggang motosikal e-hailing, Affan Kurniawan, 21, maut selepas digilis kenderaan taktikal milik Briged Mobil (Brimob) Polis Metro Jaya ketika cuba mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh di tengah jalan.
Tragedi itu berlaku ketika polis bertindak menyuraikan protes berhampiran pangsapuri Bendungan Hilir II, Jakarta Pusat, pada Khamis, 28 Ogos 2025.
Pegawai Perhubungan Awam Unit Respons Cepat (URC) Bergerak komuniti e-hailing, Erna, memaklumkan berdasarkan saksi, Affan terjatuh ketika cuba mencapai telefonnya yang tercicir akibat kekalutan orang ramai.
“Dia berada di tengah jalan, telefonnya jatuh. Semasa cuba mengambil telefon, dia dilanggar, kemudian kereta taktikal itu terus datang dan menggilisnya,” kata Erna di rumah duka di Jalan Lasem, Menteng, pada Jumaat.
Erna menjelaskan, Affan sempat cuba bangun selepas dilanggar, namun kenderaan taktikal Brimob jenis ‘Barracuda’ itu dipercayai mengundur seketika sebelum memecut meninggalkan lokasi.

“Hanya kira-kira satu kaki jaraknya, kenderaan itu mengundur kerana keadaan kacau-bilau, kemudian terus memecut pergi,” katanya.
Orang ramai yang berada di lokasi dilaporkan mengejar kenderaan tersebut sehingga ke jejambat Kasablanka.
"Affan yang parah segera dikejarkan ke hospital. Dia masih hidup ketika dibawa ke unit kecemasan, tetapi lima minit kemudian nadinya berhenti,” ujar Erna.
Menurut Erna, kecederaan jelas kelihatan di bahagian muka yang berlumuran darah, manakala impak rempuhan dipercayai menyebabkan kerosakan serius pada organ dalaman.
“Jelas organ dalaman dia parah,” katanya.
Erna turut mengesahkan rakaman video yang tular di media sosial, memaparkan mangsa terbaring selepas digilis, adalah benar-benar Affan.
“Ya, itu memang Affan yang dilanggar di jalan,” katanya.
Affan disahkan meninggal dunia sekitar jam 7.50 malam.
Erna yang mengiringi jenazah ke Hospital Cipto Mangunkusumo berkata, pengesahan dilakukan di bilik mayat sebelum memaklumkan berita sedih itu kepada rakan-rakan komuniti e-hailing. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

